TAMPIN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yang  terlibat dalam nahas jalan raya pagi tadi dilaporkan stabil dan hanya mengalami bengkak pada kaki kiri.

Pembantu kempennya, Mohd Nazir Md Yunus berkata, kejadian berlaku ketika Mohd Zaidy dalam perjalanan pulang ke inap desa selepas selesai bermesyuarat.

“Kemalangan pagi tadi itu berlaku ketika calon baru selesai adakan mesyuarat dengan jentera dan dalam perjalanan pulang ke inap desa di Felda Palong 2.

“Beliau sekarang ini berada di wad biasa Hospital Jempol dan keadaannya stabil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan buat masa ini, pihak hospital hanya membenarkan anggota keluarga menziarahinya berikutan beliau memerlukan rehat dan rawatan yang secukupnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Anuwal Ab Wahab ketika dihubungi berkata, siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan sedang dilakukan.

“Dalam siasatan dan kenyataan media akan menyusul,”katanya ringkas ketika dihubungi.

Mohd Zaidy akan berdepan saingan dengan calon Perikatan Nasional, Datuk Seri S. Surash pada pilihan raya negeri yang berlangsung pada 12 Ogos ini.