KOTA MASAI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akur tentang penggunaan 147 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh Johor sebagai pusat pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Namun, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata, SPR juga perlu memastikan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kesemua 147 sekolah tersebut, tidak terganggu dengan proses pengundian.

“Terdapat 147 sekolah menengah memohon supaya tidak digunakan sekolah menengah sebagai pusat mengundi. Namun disebabkan kekangan tertentu, SPR buat keputusan (147) sekolah di bawah KPM di Johor, terpaksa digunakan sebagai pusat mengundi.

“Kita dah bincang, supaya sebaik-baiknya walau digunakan (sebagai pusat pengundian), kita tak sentuh bilik peperiksaan. Macam sekolah ni hampir semua bilik sebagai digunakan. Dah tak macam dulu, kerana jarak antara meja lebih jauh, dan kita sediakan banyak bilik khas,” katanya lagi.

Radzi berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hari pertama perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai 2, di sini hari ini.

Radzi membuat tinjuan pada hari pertama perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai 2. - Astro AWANI

Pada 18 Feb lepas, Mohd Radzi dilaporkan sebagai berkata, pihaknya akur dengan keperluan SPR untuk menggunakan sekolah menengah sebagai pusat mengundi pada PRN Johor itu, namun penggunaannya harus diminimumkan agar tidak mengganggu perjalanan peperiksaan SPM yang berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini.

Beliau berkata, Ketua Pengarah Pendidikan Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid sudah berbincang dengan para pengetua sekolah terlibat untuk memastikan proses peperiksaan SPM berjalan dengan baik ketika PRN Johor.