ISKANDAR PUTERI: Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Johor terutama di Iskandar Puteri dan Johor Bahru menarik perhatian beberapa calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk turun padang meninjau keadaan terutama kediaman penduduk yang terjejas.

Kawasan-kawasan berkenaan mengalami banjir kilat berikutan hujan lebat sejak petang tadi tetapi surut selepas beberapa jam.

Antara calon yang dilihat turun ke kawasan banjir adalah calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Iskandar Puteri, Dr Zaini Abu Bakar yang meninjau Kampung Melayu di Gelang Patah

Zaini berkata masalah banjir kilat yang sering melanda kampung berkenaan serta kampung yang berdekatan dan beliau berazam mahu mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu.

"Setiap kali hujan lebat akan berlaku banjir kilat (di kampung ini) dan selepas itu hilang (surut semula)... isu ini penting, kasihan penduduk di sini yang ada terdiri daripada golongan berpendapatan rendah," katanya ketika ditemui Bernama selepas melawat rumah penduduk di kampung berkenaan, di sini hari ini.

Sementara itu penduduk kampung berkenaan Nur Hafidah Yaacob, 36, berkata banjir kilat sering berlaku terutama di kawasan rendah dan air naik sehingga paras satu meter selepas hujan lebat pada pukul 3.45 petang tadi, sebelum surut sepenuhnya 20 minit kemudian.

"Banjir kilat ini kerap berlaku, lebih-lebih lagi belakang rumah ada parit dan hujan lebat berterusan. Saya tidak mahu minta lebih, cuma berharap agar masalah ini berakhir secepat mungkin," katanya yang tinggal di kampung berkenaan sejak 30 tahun lepas.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Perling, Liew Chin Tong turut meninjau kawasan perumahan penduduk yang terjejas di Kampung Pasir, Johor Bahru.

"Baharu malam tadi saya berbincang dengan orang Kampung Pasir tentang masalah banjir, hari ini hujan lebat sepanjang hari telah (menyebabkan) banjir sekali lagi melanda di kawasan ini. Saya akan cuba sedaya-upaya membuat apa yang termampu untuk meringankan beban penduduk," katanya.

Penduduk kampung berkenaan Azmi Misni, 55, yang juga bekas ketua kampung itu ketika dihubungi berkata hujan lebat sejak pukul 12 tengah hari tadi menyebabkan air naik sehingga paras satu meter, sekali gus memasuki kediaman penduduk kira-kira 2.30 petang dan surut sepenuhnya empat jam kemudian.

"Air sudah surut sepenuhnya, sekarang penduduk yang rumah mereka dimasuki air sedang sibuk buat pembersihan," katanya.

-- BERNAMA