SEGAMAT: Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah dalam memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO ketika menyuarakan keyakinan itu berkata, bagaimanapun parti itu tidak boleh hanya memperoleh majoriti mudah jika ingin membentuk kerajaan negeri yang lebih stabil.

“Kita masih tidak boleh mengatakan kita sudah menang. Jentera masih perlu bekerja, sehingga diumumkan siapa yang menang, siapa yang kalah.

“Saya harap walaupun saya yakin, Menteri Besar pun yakin, Datuk Seri Hishammuddin (Hussein) pun yakin, tapi tak cukup (jika) yakin saja.

“Jentera mesti terus bekerja supaya kita boleh menang, supaya kita mendapat pencapain lebih baik. Seperti saya katakana, kita tak nak simple majority, kalau boleh dua pertiga kerusi dimenangi BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Kem Segamat petang Ahad.

Turut hadir ialah Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Mengulas lanjut katanya, jentera parti masih perlu bekerja keras sehingga hari terakhir berkempen.

Katanya, keyakinan oleh pimpinan tertinggi tidak mencukupi tanpa usaha yang jitu oleh jentera bagi memastikan BN mendapat majiriti lebih dua per tiga.