KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bukannya kerajaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan, kerajaan hanya boleh memberi pandangan mengenai pelaksanaan SOP itu, namun keputusan terakhir adalah terletak di tangan  SPR.

"Kita tahu bahawa situasi PRN berada dalam tangan SPR, jadi sandaran kepada PRN Melaka dan Sarawak menjadi pertimbangan kita apabila membincangkan tadi dan pandangan pihak berkepentingan kita akan bawa ke SPR untuk memikirkan.

"Kerana yang akan memutuskan SOP PRN adalah SPR, bukan kerajaan. Jadi apa yang boleh kita buat ialah memberi pandangan-pandangan kita, kita terserah kepada SPR untuk menentukannya SOP yang akan digunakan pada PRN Johor," katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk  Hasni Mohammad mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini dalam usaha menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di negeri ini.

Pembubaran DUN dibuat selepas Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding 27 di blok pembangkang.

Ini susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai syor Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin  untuk membuka sempadan negara sepenuhnya seawal 1 Mac ini, tanpa perlu melakukan kuarantin wajib, Hishammuddin berkata, perkara itu akan diperincikan lebih lanjut oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Imigresen Malaysia.

BACA: COVID-19: MPN syor sempadan negara dibuka sepenuhnya 1 Mac ini

"Saya faham ia dibincangan dalam mesyuarat MPN pagi tadi, saya telah mengarahkan KKM, MOTAC dan Jabatan Imigresen unruk melakukan persiapan sama ada ia boleh dilakukan dalam masa yang dimaklumkan dalam tempoh itu atau sebaliknya." ujarnya. 

Perbincangan itu katanya, akan dibawa kepada Kabinet untuk diputuskan atau diperingkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 (JKKPP) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.