MELAKA TENGAH: Kerajaan Negeri perlu menjelaskan hasil peruntukan RM10 juta khusus untuk menaik taraf stesen pintu kawalan air (baraj) di muara Sungai Melaka, kata Pengerusi Pakatan Harapan Melaka Adly Zahari.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, peruntukan itu sudah diluluskan pada 2019, ketika negeri di bawah PH, namun sehingga ke hari ini tiada sebarang kemajuan yang dilihat.

Jelas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu lagi, projek itu amat kritikal dalam menyelesaikan masalah banjir di sebahagian besar negeri ini, dan ia sepatutnya sudah selesai tahun lepas.

“Penambahbaikan itu demi memastikan aliran Sungai Melaka diselia dengan baik, kita dulu telah diberikan peruntukan RM10 juta melalui Kementerian Kewangan, tetapi bagi kita amat malang sehingga kini tidak ia diperbaiki. Kita tak pasti kedudukan RM10 juta sekarang.

“Bagi saya, sekiranya baraj tak dibaiki, maka air Sungai Melaka yang sepatutnya mengalir ke laut, tak dapat dilakukan, dan kapasiti operasi hanya sekitar 25 peratus sahaja,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu di sidang media Pakatan Harapan, bersama-sama Pengerusi DAP Melaka Datuk Tey Kok Kiew, sempena Pilihan Raya Negeri Melaka yang bakal berlangsung pada 20 November ini.

Sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 pada 18 November, 2019, Adly ketika itu mengumumkan peruntukan RM3.85 juta untuk penyelesaian banjir jangka pendek, dan RM296.7 juta untuk jangka panjang melibatkan Projek Tebatan Banjir Sungai Duyong, Jasin, Alor Gajah dan Merlimau.

Bagaimanapun, sebahagian pelan menangani banjir itu terhenti selepas pertukaran kerajaan negeri pada Mac 2020, menyaksikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali dari UMNO menjadi Ketua Menteri baharu.

Mengulas lanjut, Adly berkata, kerajaan negeri seharusnya memberi tumpuan kepada usaha membina saliran utama di tambakan laut, bagi membolehkan aliran sungai berlebihan melimpah ke kawasan laut.

Selain itu, beliau berkata, fokus jangka pendek sudah semestinya mengenalpasti dan membina lebih banyak rumah pam di lokasi yang strategik, bagi membolehkan masalah banjir kilat dapat diselesaikan.