KUALA LUMPUR: Peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan satu bentuk mesej daripada rakyat kepada kerajaan Persekutuan.

Koordinator Penyelidikan REFSA, Fakhrurrazi Rashid berkata, peratusan rendah menunjukkan rakyat masih lagi tidak mempercayai kerajaan dan pihak berkuasa.

Bahkan, katanya, ia juga merupakan tamparan terutamanya kepada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana mereka sepatutnya meyakinkan keadaan sudah selamat untuk rakyat keluar mengundi.

BACA: PRN Melaka: Peratusan undi rendah beri kelebihan kepada BN - Penganalisis

“Saya rasa ini adalah mesej kepada kerajaan dan pihak berkuasa, bagaimana masyarakat masih lagi tidak mempercayai atau ada defisit kepercayaan kepada pihak berkuasa kerana mereka sudah dua dos vaksin, jaga jarak, jaga SOP tapi masih ada keraguan untuk keluar mengundi.

“Ini juga adalah tamparan hebat kepada KKM dan pihak berkuasa kerana mereka sendiri sepatutnya meyakinkan pengundi bahawa mereka ada perancangan rapi untuk pastikan tiada penularan wabak.

“Saya fikir ini adalah satu perkara yang perlu dikaji untuk pastikan pilihan raya akan datang berlaku secara adil dan saksama kepada semua parti politik dan kepada pengundi itu sendiri,” katanya dalam Buletin AWANI Khas pada Sabtu.

Mengulas mengenai SOP PRN Melaka, Fakhrurrazi berpendapat SOP sedia ada perlu diubah kerana beliau menyifatkan mereka yang membuat peraturan tersebut tidak kompeten dan seakan masih belum bersedia.

BACA: PRN Melaka: Peratusan undi rendah sebab rakyat bosan dan meluat - Pensyarah

Tambah beliau, tradisi pilihan raya membolehkan calon bertemu pengundi namun dengan SOP baharu, calon dilihat ada kesukaran untuk bersemuka dengan pengundi sekali gus menjejaskan kempen mereka.

“Kalau perlu ubah SOP, KKM dan pihak berkuasa perlu melibatkan parti politik dalam perbincangan SOP ini bersama mereka.

“Perbincangan pada peringkat awal ini akan berikan satu pandangan dan idea yang baharu untuk pastikan SOP itu rasional dan tidak menyekat komunikasi dan akses calon kepada pengundi,” ujarnya.

Beberapa parti politik sebelum ini mengeluh dan mempersoalkan SOP ditetapkan SPR dalam PRN Melaka kerana ia didakwa mengurangkan peluang mereka untuk bersemuka dengan pengundi.


PRN Melaka | Serangan politik termasuk fitnah dilihat berkurang