Skip to main content

Malaysia

PRN Negeri Sembilan: Cari rezeki di Kuala Lumpur, pulang rehat di Seremban

SEREMBAN, 14 April -- Stesen Keretapi Seremban mula dilihat sibuk dengan pertambahan penumpang yang menggunakan perkhidmatan tren komuter menuju ke Lembah Klang selepas bercuti di kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri, di sini hari ini.  Sebahagian anak perantau dilihat lebih selesa menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk mengelakkan tersekat dalam kesesakan di lebuh raya utama negara sama ada menghala ke arah utara, selatan dan Pantai Timur Semenanjung.  --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPE
Fenomena ini mencerminkan Seremban kini bukan sekadar bandar satelit kepada Kuala Lumpur, malah semakin menjadi pilihan untuk didiami kerana keseimbangan antara peluang pekerjaan di ibu negara dan kualiti hidup yang ditawarkan. - Gambar fail
Advertisement

SEREMBAN: Semakin ramai pemastautin di Seremban yang bekerja di Kuala Lumpur, lebih memilih untuk menjalani rutin berulang-alik dan kekal menetap di ibu negeri Negeri Sembilan itu, kerana mereka mengutamakan persekitaran lebih tenang, selain faktor harga hartanah yang mampu milik.

Tinjauan di Stesen Komuter Seremban mendapati amalan berulang-alik ke tempat kerja di Kuala Lumpur sudah menjadi kebiasaan, meskipun mereka perlu memulakan perjalanan seawal jam 6 pagi.

Seorang pekerja swasta, Aisyah Zakirah Nizar, berpandangan bahawa suasana yang kurang sesak menjadi faktor utama beliau memilih untuk menetap di Seremban.

“Seremban kurang sesak berbanding KL yang terlalu sibuk. Saya memang lebih suka tinggal di Seremban kerana belum terlalu padat,” katanya.

Sementara itu bagi penjawat awam, Lekir Ahmad, kesibukan di Kuala Lumpur hanya mahu dirasai pada waktu bekerja, selebihnya kehidupan di Seremban yang lebih tenang untuk dinikmati bersama keluarga.

“Kerja di KL cukuplah di KL. Balik ke Seremban lebih tenang, kurang kesesakan dan masih ada kehijauan. Itulah yang kita cari dalam kehidupan,” katanya.

Lekir turut berpandangan, peluang memiliki rumah bertanah di kawasan seperti Bandar Sri Sendayan masih terbuka, namun menjangkakan harga hartanah akan terus meningkat susulan tempias pembangunan dari Lembah Klang.

Seorang lagi pekerja swasta yang diwawancara, Nurul Shakila, perpindahan ke Seremban selepas berkahwin memberi kualiti hidup yang lebih baik buat dirinya kerana suasana tidak sesak seperti di ibu negara.

Selain faktor gaya hidup, menurutnya, harga rumah yang lebih rendah turut menjadi tarikan utama.

"Rumah bertanah di Seremban masih boleh dimiliki pada harga sekitar RM300,000 hingga bawah RM400,000, berbanding kebanyakan rumah di Kuala Lumpur sudah mencecah lebih RM500,000," katanya.

Fenomena itu mencerminkan Seremban kini bukan sekadar bandar satelit kepada Kuala Lumpur, malah semakin menjadi pilihan untuk didiami kerana keseimbangan antara peluang pekerjaan di ibu negara dan kualiti hidup yang ditawarkan.

Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, pembangunan di Seremban masih diselang-seli dengan ruang hijau selain terletak berdekatan kawasan berpokok, ladang, hutan kecil dan lot pertanian seperti di Sendayan, Labu, Pantai, Lenggeng dan Rasah.

Must Watch Video

Advertisement