Tindakan Barisan Nasional (BN) tidak meletak bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pilihan raya negeri (PRN) kali ini, ada pro dan kontranya yang tersendiri.

Penganalisis Politik Sabah Dr Romzi Ationg berkata, tindakan itu sudah pasti akan menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pengikutnya, memandangkan Musa cukup lama berkecimpung dalam politik negeri.

Namun, pada masa yang sama, Romzi berpendapat, ia sedikit sebanyak boleh meningkatkan keyakinan pengundi terhadap integriti gabungan itu.

"Yang pertamanya ia mungkin mengurangkan sokongan terhadap BN sebab kita kena ingat, Tan Sri Musa mempunyai pengikut yang ramai, beliau sendiri dalam politik negeri terlalu lama. Dan sudah semestinya akan ada kekecewaan di kalangan pengikut beliau.

“Tetapi kita juga harus ingat, ia bertujuan untuk memastikan akan hanya ada satu atau dua calon untuk menjadi Ketua Menteri. Jadi ini mengurangkan kekeliruan di kalangan pengundi yang akhirnya ini kita harus kaitkan dengan integriti gabungan itu, yang mana ini akan kembalikan keyakinan pengundi kepada Perikatan Nasional," katanya.

Mengikut senarai calon yang diedarkan dalam satu majlis sebentar tadi, nama Musa, yang juga bekas ADUN Sungai Sibuga, tidak disenaraikan untuk mana-mana kerusi.

Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Musa tidak memohon untuk bertanding, dan UMNO juga tidak menawarkan sebarang kerusi kepada beliau.

BACA: LAPOR LANGSUNG: PRN Sabah - Siapa akan bertanding?

BACA: PRN Sabah: Musa tidak memohon, kami juga tidak tawarkan jadi calon - Bung Moktar

Sementara itu, mengulas mengenai sentimen rakyat Sabah terutamanya pengundi muda, Romzi berkata, ia bergantung kepada gabungan mana yang mampu memanipulasi sumber maklumat utama kepada golongan itu.

BACA: PRN Sabah: Anak muda Sabah seperti Veveonah adalah 'kingmaker'

“Kita kena ingat golongan muda ini lebih tertumpu kepada media sosial. Jadi apa yang kita mana-mana pihak perikatan, sekiranya mampu untuk memanipulasi media, maka, sudah pasti mereka akan mampu pengaruhi golongan muda.

"Sentimen paling penting ialah pembangunan. Pengundi muda ini lebih fokus kepada pembangunan. Contohnya di kawasan Pitas, kita bercakap tentang internet. Dan sentimen itu sudah semestinya segera sampai ke pengetahuan pengundi muda,” katanya lagi.