PRN Sabah: PH hormati keputusan rakyat Sabah - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas hadir Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12, hari ini. - Foto BERNAMA
SINGAPURA: Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, sambil mengakui isu legasi pembangunan dan sentimen warisan terhadap Persekutuan mungkin mempengaruhi kecenderungan pengundi.
Ringkasan AI
- Pakatan Harapan menghormati keputusan rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini sambil mengakui isu legasi pembangunan dan sentimen warisan mempengaruhi kecenderungan pengundi.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan telah menyalurkan bantuan besar bagi projek jalan raya, bekalan air, dan elektrik, tetapi beberapa projek masih tertunggak, menimbulkan keresahan rakyat dan persepsi negatif terhadap Persekutuan.
- Anwar menegaskan kerajaan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah untuk menyelesaikan isu pembangunan elektrik, air, dan ketersambungan demi kesejahteraan rakyat Sabah, sambil mengambil kira sentimen rakyat terhadap warisan dan legasi negeri.
Pada PRN Sabah ke-17, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meraih 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri, diikuti Parti Warisan (25), Barisan Nasional (enam), Bebas (lima), UPKO (tiga), Parti Solidariti Tanah Airku (dua) manakala Perikatan Nasional, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat serta PH masing-masing menang satu kerusi.
Anwar berkata isu asas seperti elektrik, air dan ketersambungan masih membelenggu rakyat di kampung, pedalaman dan kawasan bandar, menyumbang kepada persepsi bahawa Persekutuan kurang menunaikan janji pembangunan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan akan terus mempergiat libat urus bersama kerajaan negeri Sabah dan menyelesaikan isu pembangunan secara berperingkat.
Mengulas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Anwar berkata kerajaan sentiasa berusaha menyelesaikan isu pembangunan melalui rundingan pelbagai peringkat termasuk dengan Raja-Raja Melayu, sambil mengambil kira sentimen rakyat terhadap warisan dan legasi negeri.
Beliau memaklumkan sebahagian tanggungjawab seperti pengurusan bekalan elektrik telah telah diserahkan kepada kerajaan negeri Sabah, namun kerajaan Persekutuan menambah peruntukan RM1.2 bilion bagi memastikan projek kritikal dapat diteruskan.
"Apabila projek ini siap, kita berharap mudah-mudahan dia beralih (sokongan kepada kerajaan). Kerajaan akan terus komited menyelesaikan isu pembangunan dan perkhidmatan asas demi rakyat Sabah," katanya.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

