Skip to main content

Malaysia

Setiap dasar Kerajaan MADANI utamakan keadilan sosial, kebajikan pekerja - Ramanan

Hari Pekerja merupakan detik bermakna untuk kita meraikan kekuatan, ketabahan dan sumbangan luar biasa para pekerja Malaysia. Selaras dengan tema “Pekerja MADANI, KESUMA Bangsa”, setiap pekerja di negara ini berdiri sebagai tunjang utama pembangunan negara, membawa nilai, maruah dan peranan yang tidak wajar dipinggirkan.
Setiap dasar untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara yang diperkenal oleh Kerajaan MADANI akan menitikberatkan keadilan sosial serta kebajikan pekerja, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan. - Foto Facebook R. Ramanan

KUALA LUMPUR: Setiap dasar untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara yang diperkenal oleh Kerajaan MADANI akan menitikberatkan keadilan sosial serta kebajikan pekerja, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata setiap pekerja di Malaysia berdiri sebagai tunjang utama pembangunan negara, membawa nilai, maruah dan peranan yang tidak wajar dipinggirkan.

Advertisement

Justeru, Ramanan berkata kerajaan sentiasa memberi penekanan kepada kesiapsiagaan pasaran buruh dan perlindungan pekerja agar setiap perubahan landskap ekonomi tidak menjejaskan kebajikan rakyat.

“Setiap dasar yang dirangka bukan hanya tertumpu kepada menjana pertumbuhan tetapi juga memastikan manfaatnya dapat dirasai secara saksama oleh rakyat, khususnya golongan pekerja.

“Pendekatan kita adalah jelas iaitu memastikan ekonomi terus berkembang dan pada masa yang sama memelihara keselamatan, kebajikan serta maruah pekerja di setiap peringkat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis bersempena dengan sambutan Hari Pekerja 2026 hari ini.

Beliau juga berkata Malaysia terus membuktikan ketahanan dalam mendepani cabaran global apabila berupaya menyesuaikan diri, bertindak pantas dan melaksanakan dasar yang responsif.

Ramanan berkata usaha itu termasuk memperkukuh sistem perlindungan sosial, memperluas akses kepada latihan semula dan peningkatan kemahiran selain mempercepat adaptasi tenaga kerja terhadap perubahan teknologi serta automasi.

Dalam suasana ketidaktentuan global, katanya, kekuatan sebenar negara terletak pada keupayaan rakyat untuk kekal relevan, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi perubahan.

Ramanan turut memaklumkan kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah termasuk gaji minimum dan penggubalan Akta Pekerja Gig yang buat pertama kalinya memberikan perlindungan undang-undang kepada golongan berkenaan serta peluasan jaringan keselamatan sosial.

“Perlindungan pekerja tidak hanya terhad di tempat kerja malah merangkumi keseluruhan kehidupan mereka... ini bukan sekadar langkah pentadbiran tetapi amanah dan komitmen yang akan terus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam era kecerdasan buatan dan automasi, beliau berkata Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi sebaliknya mesti muncul sebagai pencipta serta peneraju.

Justeru, katanya, pelaburan dalam pembangunan bakat tempatan dan latihan kemahiran menjadi keutamaan selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13 yang mula dilaksanakan tahun ini.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video