PUTRAJAYA: Malaysia dan Austria menegaskan komitmen untuk memperdalam kerjasama merentasi sektor utama, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh baharu, teknologi hijau, pendidikan, dan pelancongan.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan perkara itu dizahirkan semasa pertemuan antara Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni dengan Timbalan Menteri Hal Ehwal Eropah dan Antarabangsa Austria, Sepp Schellhorn.
Advertisement
“Perbincangan itu turut merangkumi perkembangan serantau dan antarabangsa semasa yang menjadi kepentingan bersama termasuk hubungan Malaysia - Kesatuan Eropah (EU) serta situasi di Asia Barat,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi Austria memandang Malaysia sebagai rakan strategik penting di Asia Tenggara dan rakan sejawat yang amat dihargai dalam memajukan penglibatan ASEAN - EU yang lebih kukuh.
“Austria turut mengiktiraf lokasi strategik Malaysia, ekonomi yang dinamik, serta peranannya sebagai hab serantau bagi perdagangan dan pelaburan, menjadikannya rakan kongsi semula jadi untuk kerjasama berimpak tinggi di rantau ini,” katanya.
Pada 2025, Austria merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU.
Jumlah dagangan meningkat sebanyak 43.3 peratus, mencecah RM6.35 bilion (US$1.49 bilion), berbanding RM4.43 bilion (US$0.97 bilion) yang dicatatkan pada 2024.
Sehingga 2025, sebanyak 27 projek dengan penyertaan Austria telah diluluskan, membabitkan pelaburan berjumlah RM49.6 bilion (US$11.5 bilion) dan berpotensi mewujudkan 11,165 peluang pekerjaan.
-- BERNAMA