Skip to main content

Malaysia

MATTA Fair tawar diskaun tiket kapal terbang hingga 30 peratus

KUALA LUMPUR, 4 April -- Orang ramai mengunjungi Pameran MATTA Fair 2026 yang kembali menawarkan promosi pelancongan, pengalaman budaya, dan kerjasama antarabangsa lebih menarik, dengan Macau sebagai destinasi antarabangsa pilihan.  Pameran tiga hari ini berlangsung dari 3 hingga 5 April di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
MATTA turut bekerjasama dengan Tourism Malaysia di setiap negeri bagi memastikan penyertaan menyeluruh manakala edisi terbesar di Kuala Lumpur yang diadakan dua kali setahun berjaya menarik kira-kira 300,000 pengunjung pada April lepas. - Bernama

KOTA BHARU: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menjalin kerjasama strategik dengan Malaysia Aviation Group (MAG) bagi menawarkan diskaun tambang penerbangan hingga 30 peratus sempena penganjuran MATTA Fair.

Naib Presiden Kajian dan Teknologi MATTA Datuk Mohd Hizzat Mohd Shah berkata inisiatif itu antara tarikan utama kepada pengunjung selain membantu merancakkan sektor pelancongan negara.

Advertisement

“Setiap kali MATTA Fair, kita bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menawarkan diskaun harga tiket hingga 30 peratus bergantung kepada laluan dan promosi semasa.

“Langkah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna malah meningkatkan permintaan terhadap pakej pelancongan yang ditawarkan agensi tempatan,” katanya pada sidang media MATTA Fair Kelantan 2026 di sini pada Khamis.

Mohd Hizzat berkata kira-kira 2,500 agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terlibat dalam MATTA Fair sekali gus memberi peluang kepada pemain industri mempromosikan produk kepada orang ramai.

Beliau berkata MATTA turut bekerjasama dengan Tourism Malaysia di setiap negeri bagi memastikan penyertaan menyeluruh manakala edisi terbesar di Kuala Lumpur yang diadakan dua kali setahun berjaya menarik kira-kira 300,000 pengunjung pada April lepas.

Selain itu, katanya, MATTA membangunkan inisiatif TRUST bagi membolehkan agensi menyalurkan laporan terus kepada MOTAC sekali gus memperkukuh pemantauan, pematuhan dan keyakinan pengguna terhadap industri pelancongan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video