Parti Warisan Sabah (Warisan) akan mengumumkan calon parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 10 September ini.

Perkara itu didedahkan Presidennya yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bagaimanapun kenyataan Mohd Shafie tidak merujuk secara keseluruhan sama ada pengumuman calon tersebut termasuk parti rakan sekutunya iaitu UPKO, DAP, PKR dan Amanah.

"Sebab itu saya maklumkan kepada Madius (Datuk Seri Wilfred Madius Tangau) siapa calon UPKO dan siapa calon Amanah, PKR kerana PRN kali ini penting kepada kita.

"Ia bukan sahaja mengenai agihan kerusi semata-mata tetapi (kita) mahu menang pada PRN kali ini. Kita mesti memastikan kita menjadi pilihan utama," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRN Warisan Keningau di Dewan Masyarakat Keningau pada Sabtu.

Selain itu, Mohd Shafie melahirkan kebimbangan sekiranya pemimpin dan individu yang melobi menjadi calon tetapi tidak terpilih.

Katanya, perjuangan parti perlu diteruskan dan dihormati selain apa yang penting tidak menggadai maruah demi wang.

Hari Penamaan Calon bagi PRN Sabah Ke-16 akan diadakan pada 12 September ini manakala hari pengundian pada 26 September.