MUKAH: Hanya 15 minit singgah, menjamah sedikit makanan dan berucap pendek sekitar 5 minit.

Sebelum menamatkan ucapan, matanya sempat melirik jam tangan membayangkan betapa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya diburu waktu.

Kalau dapat badannya dibahagi, sudah tentu dipotong dua atau tiga untuk berada di banyak tempat serentak.

Beliau membayangkan bahawa dirinya sebagai 'a man in a hurry' dek keperluan untuk mengunjungi 28 kawasan DUN yang ditandingi PKR dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ini.

“Saya perlu adil kepada semua. Semua kawasan yang diwakili PKR berpotensi menang,” katanya ketika ditanya kerusi mana yang diyakini boleh melakukan kejutan kali ini.

Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berbahagi kawasan yang dilawati, yang jaraknya begitu jauh.


SEMUA YANG ANDA PERLU TAHU BERHUBUNG PRN SARAWAK DI SINI


Baik Anwar mahu pun Azizah sedar bahawa  hakikatnya, pimpinan dan ahli parti itu sendiri bagai tidak puas bersama mereka, kerana ada yang menunggu sehingga satu jam untuk mendengar ucapan ringkasnya.

Malah calon Mohd Arwin Lim Abdullah, 34, yang bertanding atas tiket parti itu di DUN Tellian hanya diperkenalkan ketika Anwar mengunjungi Pusat Gerakan Utama parti itu di bandar Mukah pada Ahad.

Itu pun perbualan tidak sampai lima minit. Mereka berdua diperkenalkan oleh calon veteran, Abdul Jalil Bujang yang bertanding di DUN Balingian.

Namun Anwar terpaksa mengakui, keterbatasan masa begitu mengganggu. Beliau perlu menghadiri sehingga enam program sehari, yang jaraknya begitu jauh.

Dalam ucapannya yang saling berulang, mereka hanya mampu mengungkapkan tentang aset kerajaan yang disalah guna, parti pesaing yang dikawal oleh syarikat balak serta perlunya dibuka peluang seadil-adilnya untuk parti-parti politik pembangkang berkempen.

Naratif sama diulang-ulang di semua tempat, hingga ia menjadi bualan.

Yang pasti, Anwar bagai tidak yakin partinya boleh memberi cabaran luar biasa pada kali ini, kerana apa yang dilaungkan hanyalah kata-kata motivasi ‘kuat bekerja’ tanpa perincian dan keyakinan, seperti pada tahun 2018.

Mungkin prosedur operasi standard (SOP) yang tidak menggalakkan perjumpaan dengan rakyat jelata dan penyokong dalam kuantiti yang besar menyebabkan beliau seakan-akan tiada “mood” pada kali ini.

Atau mungkin juga terkejar-kejar untuk berada sekurang-kurangnya sekali di setiap kawasan yang ditandingi.

Atau mungkin bimbang akan kesukaran untuk berkempen, terutama di lokasi yang beliau rasa PKR boleh menang.

Yang pasti, keletihan itu tampak jelas pada wajah kedua-duanya dan kekecewaan tampak jelas pada penyokong yang setia, biarpun masih mampu tersenyum dan menelan ketergesaan pimpinan kesayangan mereka.