KUCHING: Rakyat Sarawak diseru membantu kerajaan meneruskan perjuangan untuk mempertahankan hak-hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang Undang), Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar percaya, jika mandat diserahkan semula kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), usaha untuk mempertahankan hak-hak yang terhakis itu dapat diteruskan dengan lebih progresif.

Tegas Ahli Parlimen Santubong itu, hanya wakil rakyat yang lahir daripada parti politik tempatan yang mampu memahami dengan jelas cara untuk mentadbir dan meneruskan aspirasi yang dituntut rakyat Sarawak dari berbilang bangsa.

“Kalau kita lihat kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, beliau seorang pemimpin yang luar biasa dan berjaya meneruskan pelbagai bentuk perancangan serta pembangunan luar bandar di negeri ini yang pernah dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu dengan lebih strategik.

“Beberapa peruntukan yang disediakan untuk pembinaan beberapa jambatan di Sarawak yang dibatalkan berjaya diambil alih kerajaan negeri dengan sumber kewangan kendiri dalam masa yang sama meneruskan pembangunan prasarana untuk menghubungkan masyarakat di pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Randau Bersama Pemimpin Peringkat Parlimen Santubong di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak, pada Sabtu.

Tambahnya, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS  terus menerus melaksanakan pembangunan yang lebih holistik dan inklusif kepada setiap penduduk di Sarawak termasuk di kawasan pedalaman.

Projek-projek infrastruktur yang sedang dan akan dibangunkan di seluruh negeri itu jelasnya diperincikan mengikut keperluan dan struktur demografi penduduk  yang pelbagai terutama melibatkan projek bekalan air luar bandar, jalan perhubungan, dan pelaksanaan ekonomi digital.

“Dengan peruntukan kewangan yang mencukupi daripada kerajaan negeri dan sokongan yang diterima daripada kerajaan pusat, inisiatif untuk membekalkan air bersih ke seluruh negeri melalui grid sambungan air akan terlaksana menjelang 2030 khususnya bagi bersedia dengan musim kemarau,” ujarnya lanjut.

Dalam pada itu sebagai wakil parti GPS di peringkat persekutuan, ahli-ahli parti katanya akan menggandakan usaha membawa suara kerajaan negeri ke parlimen untuk diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkaitan. 

“Antaranya dapat dilihat melalui usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan kembali hak negeri ini untuk melaksanakan cukai jualan negeri (SST) bagi produk petroleum daripada syarikat minyak dan gas negara Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

“Maka kita di peringkat persekutuan akan melihat bagaimana hak-hak yang berkaitan dan tertera dalam perlembagaan negara dapat digunapakai,” jelasnya.