Skip to main content

Malaysia

Najib tarik balik permohonan kembalikan semula saman RM1.9 juta terhadap Tommy Thomas

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau kini mahu memberikan tumpuan kepada perkara lebih penting. - Foto fail
Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau kini mahu memberikan tumpuan kepada perkara lebih penting. - Foto fail

Ringkasan AI

  • Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan saman sivil RM1.9 juta terhadap Tan Sri Tommy Thomas.
  • Mahkamah Persekutuan membatalkan permohonan tersebut dan memerintahkan Najib membayar kos RM10,000 kepada Thomas, selaras persetujuan kedua-dua pihak.
  • Saman asal difailkan Najib pada 2021 mendakwa Thomas melakukan salah laku ketika mendakwa beliau dalam kes 1MDB dan IPIC.
Advertisement

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik permohonannya di Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula saman sivil berjumlah RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas kerana mahu memberikan tumpuan kepada perkara lebih penting.

Peguam Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah bahawa anak guamnya memutuskan untuk menarik balik permohonan itu atas alasan berkenaan.

“Pemohon (Najib) memutuskan untuk memberikan tumpuan kepada perkara yang lebih penting dan sehubungan dengan itu, beliau berhasrat menarik balik permohonan ini. Penarikan balik itu dipersetujui rakan peguam saya dengan kos RM10,000,” katanya.

Advertisement

Peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas turut mengesahkan perkara itu di hadapan panel berkenaan.

Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar kemudian membatalkan permohonan itu serta memerintahkan Najib membayar kos RM10,000 kepada Thomas, selaras dengan persetujuan kedua-dua pihak.

Advertisement

Najib hadir pada prosiding hari ini.

Pada 25 Nov 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman Najib terhadap Thomas. Pada 13 Jan 2026, Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan Najib untuk menghidupkan semula saman berkenaan.

Pada 10 Feb tahun ini, Najib memfailkan notis usul bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan itu dengan mengemukakan tiga persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 13 Jan 2026.

Saman difailkan pada 22 Okt 2021 itu menuntut ganti rugi RM1.9 juta atas dakwaan bahawa Thomas telah melakukan salah laku dalam jawatan awam ketika mendakwa Najib berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam samannya, Najib mendakwa Thomas bertindak dengan niat jahat ketika mengemukakan pertuduhan terhadapnya berhubung kes 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pertuduhan dalam kes jenayah itu termasuk salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan beberapa pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Najib antara lain memohon penghakiman deklaratori bahawa Thomas telah melakukan salah laku dalam jawatan awam (misfeasance in public office). Thomas berkhidmat sebagai Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.

Najib turut menuntut ganti rugi khas berjumlah RM1.9 juta, merangkumi kos mendapatkan khidmat pasukan audit untuk meneliti dokumen dan menyediakan pembelaannya bagi prosiding jenayah berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement