BAU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.26 Gedong, Datuk Naroden Majais berjanji akan terus berbakti kepada masyarakat di kawasan berkenaan sekiranya tidak lagi disenaraikan sebagai calon

Jelas Naroden impiannya sejak setahun yang lalu adalah untuk melihat sosok pemimpin yang berwibawa seperti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dicalonkan sebagai wakil rakyat di Gedong.

“Ini adalah impian saya malah  sudah saya maklumkan secara terbuka semasa Ketua Menteri datang ke Gedong melancarkan logo GPS di Gedong tahun lepas untuk beliau menjadi calon di kawasan itu.

“Apa pun keputusannya, saya serahkan sepenuhnya kepada Abang Jo untuk menentukan nasib karier politik saya.

"Seandainya saya tidak terpilih, saya akan bertungkus-lumus membantu beliau untuk membangunkan Gedong, dan memastikan apa yang kita rancang di Gedong akan dilaksanakan bersama,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Jum Regista Bisnes Sarawakku Sayang di sini, hari ini.

Jelas Naroden, hasrat untuk mengambil ‘cuti’ dari dunia politik tidak dirahsiakannya malah sudah dimaklumkan dan dibincangkan bersama ahli jawatankuasa dan ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Gedong.

“Memanglah ada perasaan bercampur-campur, kebanyakkan mereka terperanjat, namun perancangan ini sudah saya taklimatkan kepada  jawatankuasa cawangan PBB bersama ketua ranting bahawa saya menawarkan kawasan Gedong kepada Abang Jo.

“Sejak dari itu saya sentiasa memberi maklumat dan berbincang dengan Ahli Jawatankuasa pembangunan DUN Gedong mengenai perjara ini, niat saya demi pembangunan kawasan Gedong.

“Tidak ada yang bersifat peribadi, saya ingin melihat kawasan Gedong maju dengan adanya orang yang kuat, orang yang berkuasa dan mempunyai akses yang baik kepada peruntukan,” katanya.

Pada 17 November lalu, Naroden mencadangkan Presiden PBB itu untuk mewakili DUN tersebut pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak akan datang sekaligus menimbulkan tanda tanya sama ada beliau akan bertanding di kerusi DUN lain atau menarik diri pada PRN12 nanti.

Naroden mula menjadi ADUN Gedong sejak 1991 dan telah berkhidmat selama enam penggal, baik sebagai ADUN Gedong mahupun ADUN Simunjan.

Dalam PRN11 Sarawak, Naroden memenangi kerusi ini dengan majoriti 3,365 undi, menewaskan calon Amanah, Rapelson Richard Hamit.