KUALA LUMPUR: Produk-produk inovasi yang dihasilkan dalam pertandingan Challenge on Innovation and Problem Solving Through Technology Advancement (CHIPTA) akan diketengahkan dan diguna pakai untuk kebaikan semua pihak.

Menurut Pengarah Bahagian Kerajaan Digital Dr Farizah Abu Bakar, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan untuk membuat padanan perkhidmatan dan fungsi bisnes bagi memastikan produk inovasi tersebut dapat direalisasikan.

“MAMPU juga berharap agensi-agensi tersebut dapat memberikan peluang untuk peserta berkolaborasi dan bekerjasama bagi memastikan inovasi yang dihasilkan ini dapat diketengahkan serta diguna pakai untuk kebaikan semua pihak,” katanya. 

Program CHIPTA 2021 dengan tema  "Catalyzing Innovation for New Norm & Better Future" merupakan pertandingan mencipta aplikasi mudah alih serta menggunakan asas data terbuka anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Tambah Dr Fazidah lagi, antara lain matlamat dan hala tuju pelaksanaan program CHIPTA 2021 adalah untuk menggalakkan inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui pendekatan Quadruple Helix iaitu di antara Kerajaan, industri, para akademia dan rakyat.

Pertandingan CHIPTA 2021 terbahagi kepada empat kategori iaitu Sektor Awam, Orang Awam/ Industri, Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Pelajar Sekolah Menengah dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM66,000.00.

Kumpulan Pharmacoders dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara yang telah menjuarai kategori Sektor Awam dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.00.

Bagi kategori Pelajar Institusi Pengajian Tinggi pula, kumpulan VarsityQuadro daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang mencipta aplikasi Sharity telah memenangi wang tunai sebanyak RM10,000.00.

Bagi kategori Orang Awam/ Industri dimenangi oleh kumpulan Appkan Team dengan kejayaan mencipta aplikasi SiBIS (Sistem Bersepadu Ibu Bapa & Sekolah) dan telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000.00.

Bagi kategori Pelajar Sekolah Menengah, kumpulan AIA United daripada Kolej Vokasional Sepang dengan idea inovasi aplikasi Rakan Cop telah menjadi juara dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000.