KUALA LUMPUR: Profesionalisme, kepantasan serta komitmen warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam melaksanakan tugas memberi keyakinan bahawa negara memiliki pasukan pertahanan udara yang sentiasa bersiap siaga demi keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata selama 68 tahun penubuhannya, TUDM terus kekal sebagai benteng utama pertahanan ruang udara negara dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
“Di sebalik kekuatan pertahanan negara, saya juga amat menghargai peranan TUDM yang sentiasa tampil membantu rakyat dalam pelbagai situasi. Dalam urusan pengurusan bencana dan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang saya sendiri ikuti.
“Daripada juruterbang, kru udara, jurutera, juruteknik hinggalah anggota sokongan di darat, setiap daripada mereka memainkan peranan penting dalam memastikan setiap misi dapat dilaksanakan dengan cemerlang dan selamat,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena Ulang Tahun TUDM Ke-68 hari ini.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga TUDM termasuk veteran yang telah banyak mencurahkan bakti kepada negara.
“Saya mendoakan semoga TUDM terus melakar kejayaan dan terus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
“Kuasa Udara, Perisai Negara,” katanya.
-- BERNAMA