NATIONAL
Profesor mengaku tidak bersalah terima rasuah RM5,071

Ahmad Rifqi Md Zain, 48, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengetua sebuah kolej kediaman dalam universiti itu untuk menerima suapan sebanyak RM2,000 dan RM3,071 masing-masing pada 24 Mei dan 2 Jun 2023. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seorang profesor sebuah universiti awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,071, dua tahun lepas.
Ahmad Rifqi Md Zain, 48, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengetua sebuah kolej kediaman dalam universiti itu untuk menerima suapan sebanyak RM2,000 dan RM3,071 masing-masing pada 24 Mei dan 2 Jun 2023.
Dia didakwa menerima rasuah sebagai upah bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja membekal dan menghantar pakaian kemeja-T berkolar, lanyard, mafela dan ziplock beg bagi keperluan pelajar sesi 2023-2024 kolej kediaman itu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.Prosiding hari ini dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shahruzaman dan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu dan Yusfarizal Yussoff.
Terdahulu, Mohd Aliff menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta tiga syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, Mohd Faizi memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan RM5,000 dan tidak mengenakan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah mengambil kira faktor anak guamnya yang sering ke luar negara bagi tujuan akademik.
"Saya ingin berhujah tidak ada isu flight risk dalam kes ini kerana tertuduh seorang profesor di universiti tempatan, telah lama berkhidmat dan kehadirannya hari ini bukan sebab tangkapan. Dia terima notis pada Jumaat dan hadir hari ini, jadi tertuduh tidak mempunyai niat atau risiko untuk lari," kata peguam itu.
Muaz Ahmad kemudian berhujah hak kebebasan tertuduh adalah tidak dilanggar oleh permohonan pendakwaan kerana tertuduh masih boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pasport yang telah diserahkan kepada mahkamah.
Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 13 Mei untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami