PARIT BUNTAR: Program Cerapan Bulan Penuh yang berlangsung di Masjid Jamek Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, di sini baru-baru ini berjaya menarik minat para jemaah termasuk wanita dan kanak-kanak.

Program yang dianjurkan oleh Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama pengurusan masjid berkenaan menumpukan pendekatan pendidikan falak kepada masyarakat.

Jabatan Mufti Negeri Perak dalam kenyataan pada Selasa berkata, seramai 100 orang jemaah terbabit dalam program itu, di samping diberikan pengisian tentang cerapan bulan penuh.

"Program dimulakan dengan kuliah Maghrib khas yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Maktabah, Ustaz Mohd Hafiz Sulaiman, beliau mengupas tentang ayat-ayat kauniyyah yang menyatakan tentang kejadian objek samawi.

"Ia dijadikan sebagai fenomena rujukan dan kajian yang berteraskan ibadah kita sebagai umat Islam.

"Kejadian siang dan malam serta pergerakan dan peredaran objek di langit merupakan salah satu tanda keagungan Allah serta kaitannya secara langsung dengan pelaksaan ibadah umat Islam," katanya.


Dalam pada itu katanya, selesai solat Isyak, para jemaah diperkenal dengan beberapa peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti cerapan bulan penuh.

"Sesi cerapan itu diketuai oleh Ketua Bahagian Falak, Ustaz Mohamad Faizal Jani, lima teleskop pelbagai jenis telah dipasang untuk sesi cerapan tersebut.

"Walaupun pada awal sesi cerapan, awan menutupi bulan, namun sekitar jam 10 malam, Allah memberi rezeki kepada para pengunjung untuk menatap keindahan bulan melalui teleskop yang disediakan," ujar kenyataan itu lagi.


Jelasnya, rata-rata pengunjung yang berpeluang mencerap bulan melalui teleskop memberitahu ia merupakan pengalaman pertama mereka dan begitu bermakna dijadikan kenangan.