KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan untuk melatih 30,000 usahawan mikro, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam Program eUsahawan tahun ini, dengan sasaran jualan sebanyak RM35 juta.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata sejak diwujudkan pada 2015, seramai 563,543 usahawan di seluruh negara telah dilatih melalui program itu dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion.

"Antara tiga sektor utama yang menyumbang kepada jualan terkumpul adalah sektor makanan dan minuman sebanyak 40 peratus, kecantikan dan kesihatan iaitu 25 peratus serta gaya hidup dan pakaian sebanyak 15 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival eUsahawan dan Gig 2024 anjuran MDEC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Selasa.

Di bawah program eUsahawan, Gobind berkata eUsahawan Hab telah diperkenalkan untuk menyelesaikan cabaran bagi perusahaan kecil dan sederhana yang menghadapi kekurangan akses kepada pengetahuan dan bimbingan untuk membangunkan perniagaan.

Pada tahun ini, beliau berkata 100 hab baharu akan diwujudkan di lokasi strategik seperti universiti serta pusat komuniti bagi membolehkan usahawan tempatan mendapat pendedahan mengenai teknik pemasaran digital.

Sementara itu bagi program Global Online Workforce (GLOW), beliau berkata MDEC menyasarkan untuk melatih seramai 5,000 pelajar IPT dengan menyediakan kemahiran digital untuk mendapatkan peluang pekerjaan bernilai tinggi di platform pekerjaan gig serantau.

Menerusi program GLOW, Gobind berkata MDEC telah membantu seramai 105,390 peserta dan menjana pendapatan sehingga RM282.76 juta sehingga akhir tahun lepas.

GLOW yang dilaksanakan MDEC sejak 2016 bertujuan mengasah kemahiran dan pengetahuan rakyat terutama kepada yang diberhentikan kerja, dipotong gaji dan graduan yang menganggur sehingga berjaya menjadi freelancer atau pekerja bebas digital di platform tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu Gobind berkata pertumbuhan dan kemajuan ekonomi digital Malaysia secara inklusif selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan individu dan perniagaan adalah penting dalam memastikan nadi ekonomi negara terus terjaga.

Oleh demikian, katanya pembangunan bakat usahawan dan freelancer gig melalui pendekatan digital dahulu perlu menjadi keutamaan.

-- BERNAMA