KUALA LUMPUR:Sebanyak 605 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi melaksanakan program vaksinasi pada hujung bulan ini.

Selain itu, beberapa lokasi PPV sementara seperti di stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai, universiti serta fasiliti yang bersesuaian turut akan dibuka mengikut keperluan.

Perkara itu dimaklumkan dalam Buku Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my, pada Selasa.

Menurut maklumat tersebut, lokasi PSV akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 54 lokasi di seluruh negara akan dijadikan sebagai Pusat Simpanan Vaksin.

“Proses penghantaran dan penyimpanan vaksin di lokasi itu akan melibatkan operasi bersepadu pelbagai agensi kerajaan menerusi KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta pihak berkuasa keselamatan yang lain.

“KKM berjaya melaksanakan latihan penghantaran vaksin di Klinik Kesihatan Belaga yang merupakan kawasan pedalaman di Sarawak dan Hospital Bintulu pada 29 sehingga 30 Januari lepas sebagai langkah persiapan rapi sebelum proses imunisasi dilaksanakan,” demikian menurut dokumen tersebut.

BACA: Buku panduan imunisasi COVID-19 kini boleh diakses. Ini yang perlu anda tahu! 

Dokumen tersebut juga berkata, platform bersepadu merangkumi Pharmacy Information System (PhIS & CPS), Vaccine Management System (VMS), MySejahtera dan dashboard Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan diguna pakai bagi memastikan pelaksanaan yang cekap dan tepat serta membantu pemantauan dalam masa sebenar (real time).

Dokumen tersebut tidak ketinggalan menjelaskan terdapat beberapa kesan sampingan ringan dan bersifat sementara akan dihadapi oleh penerima vaksin berkenaan. 

Antaranya seperti yang digariskan ialah seperti sakit, bengkak atau kemerahan di tempat suntikan, penat, sakit kepala, menggigil, sakit sendi, demam, loya serta bengkak kelenjar limfa.

Bagaimanapun, pemantauan kesan sampingan dan kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) akan dijalankan secara enhanced surveillance.

“Penerima vaksin yang akan diberi notifikasi dan peringatan berjadual melalui aplikasi MySejahtera bagi melaporkan sebarang masalah dialami.

“Pelaporan AEFI juga boleh dibuat oleh petugas kesihatan melalui sistem sedia ada, dan penyiasatan bagi kes yang serius akan dijalankan dengan teliti.

“Bagi tujuan itu juga, satu jawatankuasa pakar khas turut ditubuhkan bagi menilai kes-kes itu dan isu keselamatan berkaitan vaksin COVID-19,” jelas dokumen itu lagi.

Sehingga Februari, Malaysia akan mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin COVID-19.

Daripada lima pengeluar vaksin tersebut, vaksin daripada Pfizer-BioNTech telah memperolehi kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari lalu.

Manakala empat calon vaksin COVID-19 masih sedang diproses untuk kelulusan NPRA.

Pendaftaran bagi sukarelawan serta maklumat mengenai program imunisasi, boleh diperoleh menerusi laman sesawang http://vaksincovid.gov.my.


Vaksin COVID-19 | Buku vaksin mampu jawab persoalan rakyat