KUALA LUMPUR: Cintai alam sekitar dengan mengamalkan kitar semula dalam kalangan masyarakat menjadi antara pengisian program Kelestarian Alam Sekitar 2023 anjuran syarikat pemaju hartanah Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad (MHCB) di Bandar Sri Sendayan, Seremban pada Khamis.

Menurut Pengerusi Kumpulan MCHB, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin, program itu melibatkan 10 buah sekolah di sekitar kawasan itu bagi menyemai kesedaran masyarakat mengenai pentingnya kelestarian alam sekitar bermula dari sekolah.

"MCHB telah menyediakan program-program kelestarian alam sekitar di beberapa sekolah di sekitar Bandar Sri Sendayan dan seramai 300 pelajar yang hadir pada majlis hari ini telah dipilih menjadi Duta Alam Sekitar untuk meningkatkan pemahaman kepada rakan-rakan, ibu bapa dan masyarakat.

"Saya percaya usaha ini dapat mengubah tabiat dan membuka minda masyarakat kita dengan menggalakkan pembuangan sisa-sisa makanan secara lebih bertanggungjawab dan bersistematik," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, program itu dibantu dengan kerjasama rakan strategik Badan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Eco-Enzyme Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Antara aktiviti dijalankan, program mengitar semula pembuangan sisa-sia makanan secara eko-enzim, serta gotong royong membersihkan kawasan taman di sekitar bandar itu.

Antara sekolah yang terlibat dalam program perintis itu, SJK (T) Bandar Sri Sendayan, SK Bandar Sri Sendayan dan SMK Felda Sendayan.

"Saya percaya usaha ini turut dibuktikan dengan proses ujian saintifik terhadap kualiti air di sekitar Bandar Sri Sendayan dengan kerjasama daripada Persatuan Pencinta Alam (MNS).

"Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab MCHB untuk memastikan usaha ini akan diteruskan dari masa ke semasa”, katanya di majlis program pelepasan eko-enzim di Carnelian Park hari ini," katanya lagi.