KUALA SELANGOR: Program MADANI Rakyat Zon Tengah yang berlangsung di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini, membuka tirai semalam dengan pelbagai acara menarik menanti pengunjung.

Program tiga hari hingga Ahad ini adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, yang menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat tentang 163 perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi berkaitan.

Penganjuran program yang bermula 9 pagi hingga 10 malam itu menawarkan pelbagai acara dan perkhidmatan kepada pengunjung sekali gus menjadi platform terbaik untuk menyebar luas dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan.

Antaranya, kaunter pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan perkhidmatan Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudahkan orang ramai yang ingin memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian atau perdagangan, selain penukaran topi keledar untuk 1,000 pengunjung terawal setiap hari.

Turut disediakan ialah Jualan Mega MADANI dan Agro MADANI, pameran aset kerajaan, perkhidmatan bergerak seperti pemeriksaan dan rawatan pergigian, kempen derma darah, perkhidmatan kitar semula, perkhidmatan urutan terapi dan kosmetologi. 

Selain itu, pada 8 malam berlangsung pula program kerohanian Darul Ehsan Berselawat yang menampilkan pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin dan ramai lagi. 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai peneraju program itu juga akan membuka pavilion khusus dan menyediakan khidmat nasihat secara terus kepada pengunjung berkaitan pelbagai elemen antaranya teknologi padi, akuakultur, pertanian menegak selain ‘petting zoo’ sebagai tarikan kepada kanak-kanak.

Pengunjung hadir sempena program Darul Ehsan Berselawat pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor malam tadi. --fotoBERNAMA

Program yang menyasarkan 100,000 pengunjung itu antara lain membuka peluang kepada masyarakat mengemukakan pandangan serta cadangan untuk menambah baik mutu perkhidmatan sekali gus memperkukuhkan hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras agenda Malaysia MADANI.

Program MADANI Rakyat Zon Tengah anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), KPKM dan kerajaan Selangor itu merangkumi Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

-- BERNAMA