KUALA LUMPUR: Negeri Pahang dijangka mencapai sasaran kadar vaksinasi antara 55 hingga 60 peratus menjelang hujung bulan ini.

Pengurus ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi dan Industri Negeri Pahang, Dr Ahmad Syahir Ahmad Zu Safiuddin berkata, perkembangan positif itu dirancakkan dengan pelaksanaan program jangkauan (outreach) yang mampu meningkatkan pemberian vaksin khususnya di kawasan pedalaman.

Menurut beliau, sebanyak 15 PPV berbentuk outreach akan diwujudkan bermula minggu depan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 17 PPV.

"Pemberian vaksin secara outreach di Pahang yang dikendalikan di bawah ProtectHealth setakat ini ada sebanyak dua PPV bergerak yang sedang beroperasi, yang pertama adalah PPV bergerak di daerah Rompin yang dikendalikan oleh klinik swasta, Klinik Famili sejak 1 September lalu, dengan kapasiti 500 dos sehari kepada penduduk sekitar Tanjung Gemuk.

"PPV bergerak Institut Jantung Negara juga akan turut serta dalam program vaksinasi outreach di sekitar daerah Rompin bermula pada 17 September nanti.

"Selain itu, PPV bergerak Yayasan Felda yang mempunyai kapasiti maksimum sehingga 1,200 dos sehari. Proses vaksinasi dijalankan sama ada di fasiliti seliaan Felda dan juga bas yang diubahsuai sebagai tempat pemberian vaksin.

"Keutamaan turut diberikan kepada penerima vaksin warga emas, orang kurang upaya (OKU), penyakit kronik dan pesakit terlantar untuk mendapat vaksin secara pandu lalu di PPV ini," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

BACA: CITF: Perhatian khusus 7 negeri kadar vaksinasi kurang 55 peratus - Dr Adham

Selain memberi tumpuan kepada kawasan Felda, Dr Ahmad Shahir menambah, pihaknya juga ketika ini sedang giat meningkatkan pemberian vaksin kepada pekerja-pekerja di sektor peladangan.

Sejak ProtectHealth terlibat dalam program vaksinasi di negeri itu pada Mei lalu, terdapat sebanyak 74 PPV klinik swasta, empat PPV hospital swasta dan dua PPV Intergrasi termasuk di Dewan Perniagaan Cina Bentong.

Vaksinasi bergerak dilaksanakan di Pahang

Jelas beliau, lima PPV industri turut diwujudkan bagi memastikan semua penduduk di Pahang tidak tercicir mendapatkan akses kepada vaksin.

"Strategi untuk meningkatkan vaksinasi  selepas ini semestinya kita berharap kewujudan lebih banyak PPV bergerak dan program vaksinasi berbentuk outreach.

"Kalau boleh kita kena vaksin hingga ke depan pintu rumah mereka dan saya rasa ia mampu mengurangkan beban rakyat terutamanya kepada golongan sasaran, termasuk juga Orang Asli," ujar beliau.

Mengikut data yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr Ahmad Shahir berkata, seramai 948,731 atau 80.7 peratus populasi dewasa telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

Dr Ahmad Shahir dalam masa sama turut mengalu-alukan penyertaan lebih ramai pengamal perubatan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan untuk berdaftar dengan ProtectHealth bagi menjayakan program jangkauan vaksinasi.