KUALA NERUS: Program pemindahan ilmu ternakan kelulut komuniti anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menjana pendapatan tambahan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan kepada peserta.

Ketua Projek Prof Dr Shamsul Bahri Abd Razak berkata UMT melalui Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut (SIG) telah mengendalikan program ternakan kelulut di empat lokasi di dua negeri secara berkelompok bagi membantu meningkatkan ekonomi masyarakat terutama di luar bandar.

Beliau berkata lokasi terbabit ialah di Sedili dan Parit Sulong, Johor serta Kampung Pengkalan Gelap dan Kampung Gemuruh, Terengganu.

"Sebanyak 120 peserta terlibat dalam projek yang bermula pada 2018 itu. Di Sedili dan Kampung Pengkalan Gelap pesertanya terdiri daripada nelayan, manakala di Kampung Gemuruh fokus diberi kepada golongan asnaf yang tinggal di sekitar masjid yang menjadi pusat ternakan kelulut.

"Di Parit Sulong pula projek ini agak istimewa kerana melibatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ibu tunggal yang kita pilih berdasarkan kriteria tertentu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Shamsul Bahri yang juga pensyarah di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT berkata selain projek ternakan kelulut, komuniti SIG juga aktif dalam menganjurkan kembara, seminar dan bengkel berkaitan lebah kelulut di dalam dan luar negara termasuk di India, Indonesia dan Brazil.

Menurutnya kejayaan projek ternakan kelulut UMT telah menarik minat rakan universiti lain untuk berkolaborasi dan membangunkan projek sama di negara mereka.

"Kali terakhir kita adakan bengkel ialah di India yang melibatkan peserta dari Sri Padmavathi Mahila University sebuah universiti wanita di Tirupati. Peserta terdiri daripada wakil komuniti, kakitangan dan mahasiswa.

"Program itu juga sebahagian daripada program payung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu Women and ICT Frontier Initiative (WIFI)," katanya.

Dalam pada itu, seorang peserta projek ternakan kelulut UMT Sedili, Noraini Othman, 53, berkata hasil jualan perusahaan produk madu kelulut yang mencecah RM1,500 sebulan berjaya mengubah taraf ekonomi keluarganya.

Justeru, beliau amat bersyukur dan berharap projek tersebut dapat diperluaskan ke lebih banyak lokasi bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan B40.

-- BERNAMA