PARIT BUNTAR: Sebanyak 1,935 ekor anjing dan kucing berjaya dimandulkan di bawah Perak Pawsitive Initiative sejak 2024 sehingga Jun tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 1,285 lesen anjing dikeluarkan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.
“Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi melambangkan komitmen berterusan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, NGO Friends of Pawsitive, klinik-klinik veterinar serta para sukarelawan, dalam membangunkan satu sistem pengurusan haiwan peliharaan yang lebih bertanggungjawab dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Melukis Perak Pawsitive Initiative bertemakan “Haiwan Kesayanganku, Tanggungjawabku” di sini, semalam.
Sementara itu, Sandrea berkata isu haiwan jalanan bukan sekadar isu haiwan, sebaliknya ia memberi kesan kepada kesejahteraan komuniti, keselamatan awam serta pengurusan pihak berkuasa tempatan.
Justeru beliau berkata penyelesaiannya tidak boleh bergantung kepada operasi menangkap haiwan atau tindakan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu menangani punca masalah melalui satu pendekatan yang menyeluruh.
Beliau berkata seekor anjing betina yang tidak dimandulkan boleh melahirkan sehingga 18 ekor anak dalam tempoh setahun dan jika keadaan ini berterusan, secara teori populasinya boleh berkembang sehingga melebihi 12,000 ekor dalam tempoh lima tahun.
Sehubungan itu, pemandulan merupakan langkah paling berkesan untuk memutuskan kitaran pembiakan yang tidak terkawal.
Sandrea berkata dalam masa yang sama, akses kepada perkhidmatan veterinar terus diperluas melalui Program Perak Pawsitive Initiative dan subsidi pemandulan, khususnya di kawasan yang masih kekurangan kemudahan veterinar.
“Kerjasama antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan, NGO, doktor veterinar dan para sukarelawan juga akan terus diperkukuh supaya usaha pendidikan serta kebajikan haiwan dapat diteruskan secara berpanjangan.
“Ramai yang beranggapan bahawa tanggungjawab sebagai pemilik haiwan hanyalah memberi makan dan minum, hakikatnya pemilikan haiwan yang bertanggungjawab jauh lebih luas daripada itu.
“Ia merangkumi penjagaan kesihatan, pelesenan, memastikan haiwan tidak berkeliaran tanpa kawalan serta tidak membiakkan atau meninggalkan haiwan tanpa tanggungjawab,” katanya.
-- BERNAMA