KUALA LUMPUR:Program saringan COVID-19 bagi pekerja asing di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang sebelum ini hanya dilaksanakan di enam negeri berisiko tinggi kini diperluaskan ke seluruh negara bermula 2 Februari depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, untuk tujuan itu, Perkeso menyediakan tambahan peruntukan sebanyak RM54 juta.

Katanya, ia adalah selari dengan bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Beliau memberitahu, bagi membolehkan program dijalankan secara komprehensif, saringan Perkeso dilakukan dengan kerjasama klinik dan hospital swasta di seluruh negara.

Menurutnya, di bawah bantuan itu, ujian saringan yang dilakukan menggunakan kaedah Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) itu akan dibiayai oleh Perkeso.

"Ini bermaksud, majikan hanya perlu membiayai kos  perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital berkenaan," katanya dalam kenyatan di sini, pada Ahad.

Bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, Saravanan memberitahu, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

Ini kerana katanya, keperluan menjalani saringan COVID-19 itu adalah diwajibkan oleh kerajaan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pematuhan kepada keperluan itu tegasnya, akan dipantau rapat oleh Kementerian Sumber Manusia.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan seramai 888,000 pekerja warga asing di enam negeri berisiko tinggi perlu menjalani saringan COVID-19, bermula 1 Disember lalu.

Orang ramai boleh melayari portal Program Saringan Prihatin di pautan https://psp.perkeso.gov.my untuk memeriksa senarai klinik yang menawarkan saringan COVID-19 di bawah program tersebut.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan boleh dihantar ke emel [email protected] atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089.