Skip to main content

Malaysia

Program Simfoni Dakwah Sebarkan Salam diperluas seluruh negara

BUJIT MERTAJAM, 5 Julai -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menyampaikan ucapan pada Program Simfoni Dakwah Sebarkan Salam di Masjid Timah, Permatang Pauh malam tadi._BERNAMA
Zulkifli berkata pihaknya merancang untuk mengadakan Program Simfoni Dakwah Sebarkan Salam di beberapa lagi negeri tahun ini dengan kemuncaknya dijadual berlangsung di Kuala Lumpur. --fotoBERNAMA
Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Program Simfoni Dakwah Sebarkan Salam akan diperluas ke seluruh negara secara berperingkat susulan sambutan memberangsangkan yang diterima pada setiap lokasi penganjurannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Zulkifli berkata program itu yang bermula di Sandakan sebelum diteruskan di Kota Kinabalu, diikuti di Sarawak serta Selangor dan kini Pulau Pinang, antara lain sebagai medium dakwah santai bagi menyemai nilai kasih sayang, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

"Hasrat pihak penganjur adalah untuk membawa program itu ke semua negeri, namun pelaksanaannya bergantung kepada kesesuaian serta jadual penganjuran, kita ada banyak negeri lagi dan jika ada kesempatan masa, kita akan tumpukan kepada mana yang kita boleh laksanakan pada tahun ini.

"Kita melihat sambutan yang sangat menggalakkan dan kerjasama antara 14 agensi hal ehwal agama Islam dengan kerajaan negeri juga amat luar biasa,  sekiranya mempunyai masa yang sesuai, kita boleh laksanakan di seluruh negara pada tahun ini," katanya kepada pemberita, di sini malam tadi.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Simfoni Dakwah Sebarkan Salam di Masjid Timah, Permatang Pauh di sini, dan turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Sirajuddin Suhaimee.

Zulkifli berkata pihaknya telah merancang untuk mengadakan program itu di beberapa lagi negeri tahun ini dengan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat, manakala kemuncaknya dijadual berlangsung di Kuala Lumpur.

Beliau berkata konsep program yang menggabungkan hiburan berunsur dakwah dengan pengisian tausiah oleh para asatizah diharap mampu menyampaikan mesej Islam secara santai namun berkesan.

"Kita namakan program ini sebagai 'Sebarkan Salam' mengambil semangat hadis Rasulullah SAW dan mesejnya ialah supaya kita membudayakan penyebaran salam dalam kehidupan seharian," katanya.

Sementara itu, JAKIM dalam kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan penganjuran program tersebut  mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh syiar Islam, memperkasakan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah serta menyantuni masyarakat menerusi pendekatan dakwah yang inklusif, berhikmah dan dekat dengan rakyat.

Menurut JAKIM, program yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat itu antara inisiatif dakwah lapangan bagi memperkukuh fungsi institusi masjid sebagai pusat penyatuan ummah, pembangunan komuniti dan penyebaran mesej Islam yang membawa rahmat, kesejahteraan serta nilai kasih sayang kepada seluruh masyarakat.

"Sepanjang dua hari penganjuran bermula semalam, orang ramai disajikan dengan pelbagai aktiviti berbentuk ilmiah, kerohanian, kesukarelawanan, kesihatan, kekeluargaan dan rekreasi yang sesuai untuk semua peringkat umur.

"Antara pengisian yang disediakan ialah sukaneka, liga penalti remaja, pertandingan mewarna dan tahsin al-Fatihah kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan percuma, perlawanan bola padang persahabatan, Kenduri Ummah, Malam Simfoni Dakwah, qiyamullail, Semarak Subuh, Nature Run MADANI, Multaqa MADANI Ulama Umara Peringkat Zon Utara dan program Ziarah Mahabbah #MADANIMembantu," menurut JAKIM.

Program itu turut menampilkan pengisian daripada pendakwah, ilmuan dan personaliti terkenal tanah air bagi mendekati masyarakat melalui pendekatan yang lebih segar, santai serta berhikmah, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Program itu anjuran Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),JAKIM dan agensi Hal Ehwal Agama dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) di Masjid Timah dan beberapa lokasi berhampiran.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement