PUTRAJAYA: Program Solidariti Palestin anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) cawangan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) (PCKKD) merupakan manifestasi sokongan warga KKD terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa yang juga Penasihat PCKKD yang bangga dengan penganjuran program julung kali diadakan itu berharap inisiatif tersebut turut menjadi contoh kepada agensi lain.

"Tahniah kepada PCKKD atas penganjuran program yang julung kali diadakan ini. Saya kagum atas kesungguhan dan keprihatinan ahli-ahli Puspanita atas inisiatif ini. Dalam masa sama saya berbangga atas usaha yang amat bermakna ini.

"Kita tidak mampu angkat senjata. Kita hanya zahirkan sokongan dengan mengadakan majlis seumpama ini. Dengan sokongan seumpama ini, mungkin akan merubah sesuatu," katanya ketika berucap pada Program Solidariti Palestin anjuran PCKKD di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi PCKKD Datin Nik Noralhuda Nik Mohamed.

Mohamad Fauzi berkata KKD akan terus menyatakan solidariti dan mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Pertempuran di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas telah mengorbankan ribuan nyawa khususnya kanak-kanak dan wanita.

-- BERNAMA