MIRI: Fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di bahagian Miri pada Sabtu berjalan lancar.

Program imunisasi itu membabitkan petugas barisan hadapan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan KKM selain beberapa wakil rakyat dan kakitangan kerajaan.

Antaranya, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Penyelaras Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin yang menerimanya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Eastwood.

"Saya tidak berasa kesakitan... seperti digigit semut sahaja, tetapi tidak sakit.

"Saya menggesa agar orang ramai tidak mendengar berita palsu yang disebarkan. Saya berharap lebih ramai yang akan mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera bagi vaksin fasa kedua nanti," katanya ketika ditemui media.

Ujarnya, setelah menerima vaksin Pfizer-BioNtech pada hari ini, beliau bersama penerima yang lain akan mendapat suntikan dos kedua pada 27 Mac.

"Berdasarkan kad yang saya terima, dos kedua akan diterima dalam tempoh 21 hari," tambah beliau.

Selain Kim Shin, turut sama menerima suntikan pada hari ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Negara, pegawai-pegawai daerah dan anggota agensi keselamatan.

Antara PPV yang terlibat dalam program imunisasi di Miri pada Sabtu adalah Dewan Eastwood, Dewan Dato Permaisuri, Dewan Masyarakat Marudi dan Hospital Miri. PPV Bekenu akan memulakan program vaksinasinya pada Ahad pukul 9 pagi. 

Terdahulu pada 4 Mac, sebanyak 16,380 dos vaksin Pfizer-BioNtech tiba di wilayah utara Sarawak.

Daripada jumlah itu, 11,700 dos dikhususkan buat petugas barisan hadapan di Miri, manakala selebihnya diperuntukkan buat Limbang dan Bintulu.