Lembaga Zakat Selangor (LSZ) hari ini menjalankan Program Ziarah Korporat dan Media bersama Asnaf (ZIKRA) 2019.

Program tahunan itu membawa pengeluar zakat dalam kalangan syarikat korporat turun padang mendekati para asnaf, di samping mendapatkan maklum balas secara terus mengenai keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor.

Program tahun ini membawa peserta ke SMK Sg Rawang, Sepang, yang merupakan salah sebuah daripada 231 buah sekolah yang terbabit dalam Program Sekolah Angkat Zakat Selangor.

"Hari ini kita bersama-sama dengan pembayar zakat untuk berkongsi bagaimana pihak Lembaga Zakat Selangor mengagihkan kutipan zakat yang kita terima daripada pembayar zakat, dan sampai ke sasaran yang dikehendaki," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LSZ, Saipolyazan Mat Yusop.

Pelajar yang menerima bantuan di bawah Program Sekolah Angkat Zakat Selangor turut juga menerima menerima wang saku di bawah Rancangan Agihan Wang Saku, yang diperkenalkan pada 2018.

"Kita berikan pelajar terbabit RM3 bagi satu sesi, dan mereka perlu datang ke sekolah sebelum pukul 7.30 pagi. Pertama, kita menggalakkan pelajar untuk rajin datang sekolah dan kedua, mereka datang tepat pada waktunya.

"Hasil daripada penerapan nilai-nilai ini, kita dapati adanya perkembangan dari segi kecemerlangan akademik, sahsiah dan ko-kurikulum di sekolah ini.

"Kita nak memastikan objektif yang kita gariskan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor iaitu melahirkan generasi cemerlang, tercapai," tambah Saipolyazan.

Sebanyak 11 syarikat korporat terlibat dalam program hari ini, antaranya QSR Brands (M) Holdings Bhd, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Malaysia Airports Holdings Berhad.