MALAYSIA
Projek HHFS: Tasik Kenyir bakal muncul sebagai hab hidrogen hijau, tumpuan pelabur - PM

Perdana Menteri menyempurnakan Majlis Peluncuran Pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hub Hidrogen Hijau di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud, Kenyir, hari ini. - Foto Bernama
KUALA BERANG : Malaysia memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju tenaga hijau serantau dengan pelancaran Projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) dan Hab Hidrogen Hijau di Terengganu, pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Projek HHFS dan Hab Hidrogen Hijau diterajui Petronas dan TNB dilancarkan di Terengganu untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju tenaga bersih di Asia Tenggara.
- Projek ini mengintegrasikan sumber hidro semula jadi dengan solar terapung berskala besar dan penghasilan hidrogen hijau, sejajar dengan dasar peralihan tenaga negara.
- Tasik Kenyir dijangka menjadi hab strategik tenaga bersih serantau, menarik minat pelabur serta menyokong NETR dan HETR sebagai pelan hala tuju tenaga Malaysia.
"Hari ini, kita telah mencatat satu lagi perkembangan baharu yang menarik, sekali gus menunjukkan kesegaran pertumbuhan negara kita serta menjadikannya sebagai markas tumpuan pelabur serantau dan antarabangsa.
"Kenyir pula merupakan satu kekuatan dalam tenaga hidro. Namun, kekuatan ini diperkukuh dengan permulaan kerjasama dua gergasi (iaitu) Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menakhodai sebuah projek yang bermula dengan tenaga solar dan kini berkembang kepada tenaga hijau, termasuk hidrogen hijau.
"Semua ini adalah hasil daripada beberapa penyelidikan yang mengarah kepada pembangunan tenaga alternatif baharu, bersih dan hijau, seperti yang disepakati di peringkat antarabangsa dan kini menjadi dasar tenaga negara kita.
"Sekarang, umpamanya, apabila pembangunan hidro dan hidrogen hijau di Kenyir dimulakan, ia menjadi satu pemusatan minat pelabur antarabangsa. Sekarang ini, bukan sahaja Terengganu, tetapi Kenyir menjadi suatu tarikan.
"Kalau dilihat, pelabur-pelabur yang bercakap soal tenaga hijau itu turut menyebut Kenyir dengan projek yang kita luncurkan pada hari ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran HHFS dan Hab Hidrogen Hijau di Terengganu di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud di Kenyir, di sini pada Sabtu.
Projek HHFS dan Hab Hidrogen Hijau yang dilancarkan itu bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam rantaian nilai hidrogen hijau, di samping menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami