KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak belum dimaklumkan secara rasmi mengenai cadangan sebuah syarikat berpangkalan di Brunei untuk memulakan projek rangkaian kereta api berkelajuan tinggi yang akan melalui beberapa destinasi di Bumi Kenyalang.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan media baru-baru ini.

"Ia mungkin cadangan daripada sektor swasta yang tidak melibatkan kerajaan kerana jika kita mahu membina landasan kereta api Kalimantan-Borneo, mesti ada persetujuan antara Malaysia, Indonesia dan Brunei," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini hari ini.

Beliau berkata Unit Perancang Ekonomi masih menjalankan kajian berhubung projek itu.

"Mereka akan terlibat dalam perbincangan kerajaan dengan kerajaan bersama Indonesia dan Brunei untuk mendapatkan kata sepakat berhubung projek landasan kereta api Borneo," katanya.

Menteri Pengangkutan dan Penerangan Brunei Pengiran Datuk Seri Setia Shamhary Mustapha pula berkata belum ada perbincangan rasmi di peringkat kerajaan berhubung cadangan projek Kereta Api Trans Borneo.

Bagaimanapun, memetik laporan akhbar Borneo Bulletin, Shamhary berkata pihaknya menyedari aspirasi syarikat itu untuk menyediakan perkhidmatan kereta api di Kepulauan Borneo namun ia masih memerlukan kajian lanjut.

"Walaupun belum ada perbincangan rasmi di peringkat kerajaan mengenainya namun di peringkat ASEAN perkara ini ada disentuh oleh ASEAN Railway SubWorking Group berkaitan kesalinghubungan landasan kereta api dalam ASEAN dan ia mungkin dibangkitkan pada masa depan," katanya.

Cadangan Brunergy Utama Sdn Bhd yang berpangkalan di Brunei untuk memulakan projek itu telah menarik perhatian media baru-baru ini dan ia bakal memendekkan masa perjalanan antara Brunei, Sarawak, Kalimantan dan Sabah.

Menurut syarikat itu, projek bernilai US$70 bilion (RM330 bilion) tersebut akan dilaksana dalam dua fasa membabitkan laluan sepanjang lebih 1,600 kilometer dan bakal dilengkapi kereta api berkelajuan tinggi yang mencecah kelajuan sehingga 350 kilometer sejam.

-- BERNAMA