MACHANG: Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di Kota Bharu, dijangka mengalami kelewatan dengan status fizikal sebanyak 25.79 peratus atau 143 hari berbanding jadual asal.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata beliau dimaklumkan bahawa kemajuan projek telah mencapai 30.58 peratus.

"Kelewatan ini berkaitan keperluan utiliti dan bahan binaan. Kita mengalami masalah kekurangan pekerja mahir dan juga ada masalah berkaitan utiliti serta sistem keselamatan di tapak pembinaan, yang kita sedang bantu untuk selesaikan.

"Saya juga dimaklumkan bahawa pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), sedang melaksanakan pelan pemulihan untuk projek ini," katanya selepas lawatan dan taklimat Projek Pembangunan Persekutuan Tebing Sungai Kelantan Bagi Projek Jambatan di Kampung Joh ke Kampung Belimbing, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP, ialah bagi menambah baik fasiliti serta meningkatkan kapasiti terminal lapangan terbang daripada 1.5 juta penumpang kepada empat juta penumppang setahun dengan kos melebihi RM440 juta.

Biarpun LTSIP tidak dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa atau hub penerbangan serantau, namun ia masih boleh mengendalikan operasi penerbangan antarabangsa berjadual dan tidak berjadual seperti lapangan terbang domestik lain.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga berkata pihak kontraktor telah memberi tumpuan khusus untuk mengenal pasti dan mengatasi masalah yang sedang dihadapi, supaya projek itu dapat kembali mengikut jadual sepatutnya iaitu siap pada awal September tahun depan.

"Projek itu mengalami kelewatan daripada jadual yang asal, tetapi semua perkara seperti itu kita sedang pantau dengan rapat, supaya projek tersebut mengikut jadual baharu ditetapkan.

"Kita akan cuba untuk pastikan ia akan siap dalam bulan September juga. Masalah berkaitan kos yang itu tidak akan ada pertambahan kos," katanya.

-- BERNAMA