KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pergerukan alur pelayaran telah dilakukan di jeti Kuala Perlis ekoran feri Langkawi-Kuala Perlis yang tidak dapat belayar pada 22 Februari lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan, Jabatan Laut Malaysia (JLM) telah mengambil langkah serta -merta untuk melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pengerukan melalui Perolehan Darurat untuk tujuan pengerukan di lembangan (basin) jeti.

"Secara dasarnya, projek pengerukan ini dapat merancakkan pelbagai sektor ekonomi serta meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat, di samping memastikan rantaian logistik ke Pulau Langkawi tidak terputus.

"Kaedah dan teknik pengerukan telah mengalami pelbagai revolusi termasuk memperhalusi kaedah sediment trap untuk dilaksanakan," katanya menerusi satu kenyataan.

Ka Siong menjelaskan, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) juga telah melantik Jabatan Pengairan dan Saliran untuk melaksanakan kajian penyelesaian yang lebih mampan untuk menangani masalah mendapan yang mengganggu alur pelayaran dan basin terminal feri penumpang Kuala Perlis.

Beliau memaklumkan kajian ini dijadualkan siap pada 28 Februari nanti dan akan menghasilkan syor-syor penambahbaikan yang dapat diguna pakai oleh kerajaan.

"Bagi mengatasi kadar pemendapan yang tinggi, Projek Kerja-Kerja Pengerukan di Alur Pelayaran dan Lembangan (basin) Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis telah disenaraikan dan diluluskan sebagai keutamaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

"JLM kini dalam proses menjalankan kerja pengerukan yang lebih menyeluruh meliputi pengerukan mendalamkan di lembangan (basin) hadapan Jeti Kuala Perlis dan juga alur pelayaran sepanjang 9 km pada kedalaman 4.0 meter Chart Datum (CD) dan 70 meter lebar," katanya.

Ka Siong menjelaskan pihaknya yakin kerja-kerja dapat diselesaikan dalam kadar seberapa segera demi memastikan kelancaran perkhidmatan feri beroperasi untuk keselesaan serta kesinambungan pergerakan pengangkutan maritim dalam sektor Langkawi-Kuala Kedah-Kuala Perlis.

Baru-baru ini tular di media sosial, feri Langkawi-Kuala Perlis tidak dapat belayar pada 2 Februari 2022 mengikut jadual yang ditetapkan.

Hal ini disebabkan air alur pelayaran Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis telah surut di bawah paras 1.6 meter.