JOHOR BAHRU: Projek rintis bagi agensi tunggal sempadan negara (SBA) bagi mengawal selia 141 pintu masuk negara dijangka akan dimulakan tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilantik sebagai agensi peneraju untuk inisiatif itu bagi memulakan kerja-kerja awalan.

Sehubungan itu, beliau berkata satu mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha KDN Datuk Ruji Ubi diadakan di Putrajaya hari ini bagi membincangkan pelbagai perkara berhubung pelaksanaan SBA.

"Sekarang kita ada dua bulan untuk menyiapkan semua... (termasuk) soal struktur, organisasi, soal perjawatan dan usaha bagi menyegerakan projek perintis itu.

"Kita ada 141 pintu masuk yang diwartakan di seluruh negara, jadi sudah tentu kita mulakan dahulu dengan sejumlah pintu masuk yang kita akan umumkan sebagai projek perintis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani pembelian secara en-bloc Pangsapuri Aliff Sejahtera bagi kediamanan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, di sini. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurutnya KDN akan turut mencontohi model penubuhan pasukan seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam membangunkan projek rintis itu.

Beliau turut memberi contoh Singapura yang mempunyai agensi tunggal mengawal selia sempadan seperti Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA).

Beliau berkata penubuhan agensi tunggal itu harus memenuhi tiga tujuan utama yang ditetapkan iaitu menyelaraskan koordinasi antara pelbagai agensi kawal selia yang bertanggungjawab di sempadan, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan mengekalkan integriti.

"Seperti dalam ucapan saya tadi, macam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Ismail (BSI) ini ada kira-kira 20 agensi seperti JIM, Jabatan Pertanian, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan sebagainya.-- LAGI

"Di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) ada lebih kurang 14 agensi, jadi kalau kita buat single border agency macam negara jiran kita, dia ada satu sahaja yakni ICA, jadi saya rasa itu satu arah tuju yang betul," katanya.

Sementara itu, berhubung dengan kebajikan kakitangan JIM, Saifuddin Nasution berkata perumahan antara aspek yang diberi perhatian, dan pembelian secara en-bloc Pangsapuri Aliff Sejahtera, Tampoi itu adalah bagi menampung keperluan kediaman untuk dijadikan kuarters kakitangan JIM Johor.

Pembelian membabitkan kos RM41.08 juta itu merangkumi 72 unit pangsapuri perkhidmatan, lapan unit ruang kedai, 11 unit pejabat dan pelbagai kemudahan lain yang berkaitan.

-- BERNAMA