Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan pelancaran projek pembinaan rumah baharu untuk mangsa banjir yang layak di negara ini pada 29 Januari ini.

Projek yang akan dilancarkan di Kuala Krai itu akan menjadi 'rumah contoh' untuk semua projek pembangunan semula rumah kepada mangsa berkenaan di seluruh negara kelak.

"Kita sedang merumuskan reka bentuk rumah baharu itu yang akan menjadi contoh untuk disediakan kepada mangsa banjir yang kehilangan kediaman mereka.

"Insya-Allah pada 29 haribulan ini nanti, saya dijadual melancarkan program pembinaan rumah di Kuala Krai, Kelantan sebagai contoh rumah pertama dalam bentuk baharu yang kita akan laksanakan nanti," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan terbitan salah satu stesen televisyen negara.

Sebelum ini Najib mengarahkan semua program berkaitan bantuan kepada penduduk terjejas banjir termasuk pembinaan dan penggantian semula rumah yang rosak, dilakukan secepat mungkin.

Katanya, masalah serta penderitaan rakyat yang terjejas akibat bencana alam itu sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, dan ia mesti ditangani dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu jelasnya, keadaan banjir yang menimpa negeri-negeri khususnya di Pantai Timur kali ini benar-benar menyedihkannya.

"Keadaan begitu serius dan pastinya membebankan rakyat. Saya berasa sedih bila saya turun melawat kawasan-kawasan yang dilanda musibah banjir, pada kali ini lebih dahsyat daripada yang pernah saya lihat sebelum ini.

"Justeru, kerajaan akan mengambil langkah-langkah membantu mangsa-mangsa banjir sama ada dari segi wang tunai, kita dah umumkan kadarnya tapi lebih daripada itu mereka memerlukan (iaitu) kalau rumah mereka dah musnah sama sekali, kita akan bina rumah baharu untuk mereka," katanya.

Tambahnya, bencana itu sekali gus menyebabkan kerugian sebanyak RM2.9 bilion membabitkan kerosakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur kepada rakyat termasuk sekolah, hospital, masjid, jambatan dan balai raya.

Dalam pada itu, Najib turut mengiktiraf pelbagai badan dan syarikat yang menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri terlibat.

Selain badan swasta, golongan artis turut dilihat menderma dengan cara mereka yang tersendiri.

Golongan ini menggunakan saluran projek penjualan barangan peribadi dan diberi nama #DermaKilat yang merupakan cetusan idea penyanyi utama kumpulan Monoloque, Loque.

Projek ini turut mendapat sokongan para artis, antaranya Aizat Amdan, Pitahati, Bront Palarae, Fynn Jamal, Monoloque, Altimet, Amir Jahari, Salammusik dan ramai lagi.