Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menawarkan diskaun tol sebanyak 10 peratus kepada pengguna kenderaan kelas 1 rangkaian lebuh raya kendaliannya sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Rabu ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK).

"Tawaran diskaun ini bermula pada 8 pagi hingga 5 petang Rabu ini untuk pengguna kenderaan kelas 1 sahaja (kereta atau kenderaan dua gandar)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Beliau berkata diskaun sempena PRU14 bertujuan memberi kemudahan kepada orang awam untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi pada hari tersebut.

"Ini adalah sumbangan kecil kami di dalam usaha menyokong pengguna yang akan keluar mengundi pada Rabu ini," katanya.

Pengguna lebuh raya itu boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di Twitter @AKLEHtrafik, @GCEtrafik dan @LKSAtrafik atau melayari laman web Prolintas di www.prolintas.com.my untuk maklumat lanjut mengenai lebuh raya di bawah kendalian syarikat itu.

Sementara itu, Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd, pemegang konsesi bagi Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), sedang melaksanakan penutupan sementara lorong kiri di KM3.9 hingga KM4.1 (arah utara), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) selama tujuh bulan yang dijangka berakhir pada November depan.

Lencongan sementara itu akan dilaksanakan di luar waktu puncak iaitu pada 10 pagi hingga 4 petang dan 12 tengah malam hingga 6 pagi.

"Kerja-kerja penutupan dan lencongan di kedua-dua kawasan ini bagi memberi ruang untuk kerja-kerja pembinaan Lebuhraya DASH dijalankan di kawasan-kawasan tersebut.

"Bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya, pihak DASH akan memasang kon keselamatan, papan tanda, penghadang plastik dan konkrit di kawasan terbabit selain kakitangan Emergency Response Team (ERT) bertugas 24 jam bagi membantu mengawal trafik di kawasan terbabit.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati dan mematuhi panduan keselamatan yang ditetapkan," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA