NATIONAL
Proses bedah siasat mayat Nora Anne dibuat pada pagi Rabu

Ujar Mohamad, proses bedah siasat terhadap mangsa juga akan dibuat sekitar jam 10 pagi Rabu dengan bantuan Pakar Patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL). -Gambar fail
Misteri kehilangan remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di sebuah pusat peranginan di The Dusun, Pantai Hill, Nilai sejak 4 Ogos lalu terungkai selepas keluarga mangsa pada malam Selasa mengesahkan mayat yang dijumpai petang tadi milik anak sulung mereka.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, pengesahan itu dibuat ibu bapa mangsa, Sebastian Matie dan Maebh Quoirin di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.
Ujar Mohamad, proses bedah siasat terhadap mangsa juga akan dibuat sekitar jam 10 pagi Rabu dengan bantuan Pakar Patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Proses post mortem bedah siasat ini akan dijalankan esok pagi dan kita akan pohon supaya senior patologi dari HKL turun bantu post mortem esok.
“Post mortem akan berlangsung sekitar jam 10 pagi esok dan hasil dari post mortem itu akan diumumkan kemudian,” katanya selepas ditemui di Jabatan forensik HTJ.
Mengulas lanjut katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) belum dihentikan dan petugas berada dalam dalam keadaan bersedia (standby mode).
Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya di resort berkenaan oleh keluarganya pada pukul 8 pagi sebelum operasi SAR dimulakan.
Bagaimanapun, satu mayat dalam keadaan tidak berbaju ditemui sekitar 1.57 petang tadi pada jarak kira-kira 2.5 kilometer dari resort lokasi terakhir Nora Anne dilaporkan hilang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami