NATIONAL
Provokasi jadi punca, Saiful Apek jelas isu ditahan polis

Saiful Apek menjelaskan secara terperinci berhubung foto penahanannya yang tersebar sejak petang Selasa.
PELAWAK dan pelakon popular, Saiful Apek akhirnya menjelaskan secara terperinci berhubung foto penahanannya yang tersebar sejak petang Selasa.
Ringkasan AI
- Beliau menjelaskan bahawa foto yang tersebar bukan menunjukkan penahanannya, tetapi tindakan pihak polis meleraikan pertelingkahan antara dirinya dan seorang individu tidak dikenali yang membuat provokasi berkaitan filem 6 Jilake.
- Kejadian terjadi selepas beliau menghadiri rumah terbuka Ketua Polis Negara dan membuat persembahan. Pertelingkahan berlanjutan sehingga ke kawasan parkir, menyebabkan campur tangan pihak polis.
- Beliau meminta keluarga dan rakan-rakan supaya bertenang dan menjelaskan bahawa insiden tersebut bukan sesuatu yang dirancang. Beliau juga risaukan reaksi ahli kumpulan Senario, khususnya Azlee yang mempunyai masalah jantung.
“Ketika kejadian, saya hadir ke rumah terbuka Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin dan selepas selesai membuat persembahan serta mempromosikan filem 6 Jilake, tiba-tiba muncul seorang individu tidak dikenali yang membuat provokasi berkenaan filem tersebut.
“Pada mulanya saya sangka dia bergurau, tetapi lama-kelamaan saya hilang sabar. Jadi, bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin tegang, saya bangun dan beredar supaya tidak mengganggu majlis.
“Saya ingatkan semuanya selesai di situ, tetapi apabila saya ke parkir kereta, individu tersebut masih terus membuat provokasi sehingga pihak polis datang untuk meleraikan pertelingkahan kami,” katanya.
Tambah Apek, apa yang membuatkan dia tidak dapat menerima provokasi individu tersebut adalah kerana lelaki berkenaan mengutuk individu yang dianggapnya sebagai sifu, iaitu Aziz M. Osman, pengarah 6 Jilake.
“Apa yang membuatkan saya terusik adalah apabila dia menyebut nama abang saya, Abang Aziz, serta mendakwa filem tersebut sebagai sampah.
“Kalau setakat menyebut nama saya, saya masih boleh kawal emosi, tetapi ini membabitkan individu yang saya anggap sebagai sifu,” ujarnya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Terbaek Raya anjuran portal mStar di The Agam, Sungai Penchala, Petaling Jaya, sebentar tadi.
Anggota kumpulan Senario itu turut memohon maaf kepada keluarga serta rakan-rakan yang mungkin terganggu dengan situasi tersebut.
“Saya harap semua orang jelas dengan kenyataan ini dan saya mohon semua bertenang, terutamanya ahli keluarga dan sahabat terdekat yang terkejut mendengar apa yang berlaku.
“Cuma apa yang paling saya risau apabila ramai yang menghubungi ahli Senario, terutamanya Azlee yang kita tahu mempunyai masalah jantung,” jelasnya.
Terdahulu, sebuah portal hiburan melaporkan mengenai seorang pelawak berpakaian baju Melayu merah jambu yang menyerupai Saiful Apek, didakwa ditahan dua anggota polis. Namun, lokasi dan punca sebenar kejadian tidak dapat dikenal pasti. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami