Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perbezaan bilangan kerusi yang disebut oleh Timbalannya, Rafizi Ramli adalah untuk melonjakkan semangat ahli parti supaya bekerja lebih kuat.
"Dia bincang dengan saya, dia buat pandangan begitu supaya push orang kita menambah 10 hingga 15 kerusi lagi, supaya kita dapat simple majoriti.
"Dalam hal ini, strategi ini kita bersama, push satu agenda supaya jangan orang kita kadang-kadang confident.. ooo dah menang dia relaks, tak boleh," katanya.
Beliau ditemui ketika mengadakan pertemuan dengan petani dan pekebun limau bali di Jalan Ampang-Tambun, di sini, pada Rabu.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Kerajaan Selangor setuju beri cuti umum pada 18 Nov - MB Selangor
SEMAK CALON PRU15 DI SINI!
Menurutnya, penjelasan tersebut sekali gus menafikan dakwaan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa berlaku pergeseran antara dua pemimpin utama PKR itu.
Sebaliknya, kata beliau, UMNO ketika ini yang sedang bergolak apabila terdapat tiga calon perdana menteri daripada parti itu iaitu Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan terbaharu Khairy Jamaluddin.
Pada Isnin, Hishammuddin mendakwa Rafizi dan Anwar tiada persefahaman apabila wujud perbezaan jangkaan antara kedua-dua ahli politik tersebut berhubung jumlah kerusi yang boleh dimenangi PH pada PRU15.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) akan membantu menyelesaikan isu tanah petani dan pekebun di Perak yang telah mengusahakan tanah masing-masing sejak puluhan tahun lalu.
Anwar berkata, beliau akan memberi perhatian dan keutamaan untuk membantu mereka.
Menurutnya, beliau akan meneliti isu itu walaupun mereka tidak mempunyai surat hak milik tanah yang diusahakan.
“Betul atas alasan hak milik tanah tidak ada, tetapi selalunya kerajaan, kalau orang tu duduk situ rumah dia dah 50 tahun atau tanam 50 tahun, kita tak boleh guna cara ganas, robohkan dan ambil alih (tanah),” katanya.
Menurutnya, segala tindakan yang hendak diambil mestilah mengikut proses keadilan dan bertimbang rasa.
Pada majlis itu, Anwar turut menerima memorandum daripada wakil petani dan pekebun yang terlibat.