BUKIT MERTAJAM: PKR yakin dapat mempertahankan kerusi dimenanginya di Pulau Pinang pada Pilihan Raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan itu berlandaskan sokongan rakyat di peringkat akar umbi selain kerja keras yang dilakukan jentera parti ketika ini.

Jelasnya, ketika ini, jentera parti menjelajah ke seluruh pelusuk kampung dan bandar bagi mendekati pengundi.

"Kita akan kerja dan kita akan pertahankan kerusi-kerusi kita. Saya yakin kita boleh bertahan, mood baik, we go underground... kita pergi ke kampung-kampung, kita pergi ke bandar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada majlis makan Malam DAP Pulau Pinang di Dewan Ng Yam Huat, Bukit Mertajam pada Sabtu malam.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH), Anwar bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan hanya memberitahu ia sedang diusahakan dan beliau hanya memantau sebelum dimuktamadkan.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memaklumkan pembahagian kerusi di antara PH sudah selesai dan akan dibawa ke Majlis Presiden pada Rabu ini.

Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, PH dijangka mengumumkan pembahagian kerusi antara parti Komponen pada Konvensyen PH yang akan diadakan di Ipoh, Perak pada 29 Oktober ini.