Azhar dari Parti Amanah Negara (Amanah) diramal berdepan saingan sengit malah ada yang menjangkakan beliau berdepan kehilangan deposit kerana kerusi berkenaan sinonim sebagai kubu kuat Pas sejak sekian lama.
Bagaimanapun, semangat anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu tidak goyah malah beliau yakin mampu mendapat sokongan yang tinggi di kerusi berkenaan.
"Senario politik di Marang ada kalanya di luar jangkaan. Boleh jadi berlaku gelombang perubahan diinginkan oleh penduduk di situ kerana selama ini mereka dibayangi oleh politik ekstrem sekali gus mewujudkan jurang antara mereka yang berbeza pandangan, fahaman serta pegangan politik.
"Saya lihat ada peluang untuk menang di kerusi berkenaan atau setidak-tidaknya memperoleh peningkatan undi di situ," kataya ketika ditemui pemberita di sini, pada petang Rabu.
Menurut Azhar, agenda utama yang ingin dibawa ialah memurnikan fikrah (pemikiran) umat Islam di Marang.
"Saya harap dapat bawa perubahan fikrah agar suatu masa nanti Marang akan dikenali sebagai masyarakat yang berkasih sayang walaupun berbeza pandangan atau pegangan politik.
"Selama ini, perbezaan pandangan politik juga dianggap seolah-olah berbeza pandangan akidah. Justeru, antara perubahan yang ingin saya bawa ialah 'menguburkan' politik ekstrem di Marang," katanya.
Azhar sebelum ini pernah menjadi calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun 2016 namun tewas kepada calon BN, Budiman Mohd Zohdi yang memperoleh 16,800 undi.
Azhar hanya mendapat 7,069 undi manakala calon Pas, Dr Abdul Rani Osman menerima 6,902 undi.