KUALA LUMPUR : Berbaki kurang 12 jam sebelum tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tamat secara rasmi, calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin meraih sokongan pengundi buat kali terakhir menerusi satu siaran video di media sosialnya.

Dalam satu video berdurasi 2 minit 18 saat itu, Khairy memohon agar dirinya diberikan peluang mewakili penduduk di kawasan itu dalam Dewan Rakyat.

Khairy dalam ucapan menerusi video yang diterbitkan di laman Instagram dan kemudian dikongsi di akaun Twitter dan Facebooknya, berkata, rakyat Sungai Buloh akan menjadi keutamaannya.

"Saya akan menjadi wakil rakyat yang sentiasa mengutamakan orang Sungai Buloh. Menjadi suara anda, memikul aspirasi anda, berada di sisi anda. I will fight for Sungai Buloh. #KitaJuang untuk Sungai Buloh.

"Berilah saya peluang, dan saya akan membalas jasa undi anda dengan penuh kesungguhan," kata Khairy.


Beliau turut menzahirkan rasa terharu dengan sambutan yang diberikan oleh orang Sungai Buloh sepanjang beliau berkempen di kawasan Parlimen itu. Menurutnya, sambutan itu telah memberikan lonjakan kepada beliau untuk bertemu seramai orang mungkin.

Khairy menawarkan penambahbaikan dalam beberapa aspek kehidupan penduduk Sungai Buloh, termasuk kebajikan untuk rakyat, kemudahan asas, masalah banjir dan kesesakan.

Tambah beliau lagi, antara potensi Sungai Buloh yang boleh ditingkatkan ialah: “Peluang pekerjaan dan perniagaan, masa depan anak muda yang lebih cerah, kemudahan moden dan digital, dan pemeliharaan alam sekitar.”

Selain daripada itu, Khairy turut menggambarkan cita-cita lebih besar. Bukan sahaja untuk memimpin Sungai Buloh, bahkan pada masa depan diharapkan dapat memimpin negara.

Hantaran status di akaun media sosial rasmi Khairy turut diiringi serangkap pantun iaitu: "Dari Rembau ke Sungai Buloh, Amanah rakyat terus tersemat, Mungkin disini kita berjodoh, Mohon restu untuk berkhidmat."