Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, BN negeri sudah menyerahkan semua nama calon kepada pucuk pimpinan parti sama ada bagi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, senarai calon terdiri dari gabungan 60 peratus muka baharu dan 40 peratus calon berpengalaman itu sedang dalam tapisan dan akan dimuktamadkan pucuk pimpinan parti sebelum diumumkan.
"Calon terdiri dari muka baharu, orang muda, wanita, ada juga org lama tetapi majoriti orang baharu dan muda iaitu sebanyak 60 peratus, baki 40 peratus adalah orang lama.
"Kali ini kita gabungkan untuk hadapi PRU, insyaAllah kita akan bawa generasi muda seperti yang kita janjikan sebelum ini. Kita betul-betul beri peluang kepada orang muda, Pulau Pinang akan tonjolkan pemimpin muda dan baharu pada PRU kali ini," katanya
Mengulas mengenai pembahagian kerusi di negeri itu, Musa berkata, sekiranya pembubaran DUN dilakukan, BN akan bertanding dengan mengekalkan formula lama bagi pembahagian kerusi di peringkat DUN d imana UMNO akan bertanding 15 kerusi, MCA akan bertanding 10 kerusi dan MIC pula dua kerusi.
Manakala 13 kerusi yang ditandingi Gerakan pula akan dibahagikan sesama parti komponen oleh pucuk pimpinan BN.
Bagaimanapun, sekiranya pembubaran DUN tidak berlaku, maka BN akan memberi fokus bertanding 13 kerusi Parlimen.
Katanya, UMNO akan bertanding di lima kerusi Parlimen, MCA empat manakala empat kerusi yang ditandingi Gerakan sebelum ini akan dibahagikan sesama mereka oleh pimpinan BN.
Ditanya mengenai keyakinan BN Pulau Pinang untuk merampas semula kerajaan negeri daripada DAP, Musa berkata, setiap parti yang bertanding memasuki gelanggang PRU15 dengan komitmen untuk menang, namun keputusan sepenuhnya bergantung kepada kepada rakyat.
Musa berkata, UMNO yakin akan menang lebih daripada dua kerusi DUN pada PRU kali ini selepas hanya memenangi dua kerusi DUN iaitu Permatang Berangan dan Sungai Dua pada PRU14.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pulau Pinang bagi PRU15, di George Town, Pulau Pinang pada Jumaat malam.