SIBU: Anak saudara pejuang kemerdekaan Sarawak, Rosli Dhobi, Musa Ainnie Dhobi menyifatkan pilihan raya sebagai rentetan kepada perjuangan keramat pahlawan kemerdekaan untuk membentuk negara Malaysia.

Musa, 62 tahun berkata, semangat itu turut diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk dihargai dan diteruskan atas kuasa rakyat dalam demokrasi berpelembagaan.

Biarpun bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak 2019 lalu, warga emas berusia 62 tahun itu  tidak pernah berputus asa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Kita mesti imbas kembali sejarah perjuangan Rosli dan rakan-rakannya, kita war-warkan semangat ini untuk diterjemahkan kepada usaha menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat mengundi demi pembentukan sebuah kerajaan yang adil kepada rakyat.

“Perjuangan Rosli Dhobi tidak sia-sia mereka berjuang untuk negara dan Sarawak,  berjuang untuk bangsa Sarawak maksudnya Melayu, Cina, Iban dan semua kaum di Sarawak, inilah yang kita lihat pada hari ini,” katanya semasa ditemui Astro Awani selepas mengundi di Pusat Mengundi SK Abang Ali di Sibu pada Sabtu.

Beliau yang kini aktif dalam Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Sarawak berharap rakyat tidak mensia-siakan peluang yang hadir lima tahun sekali ini.

Seperti Rosli, rakyat Sarawak sekarang ini bijak memilih kerajaan dan akan berjuang bersama pemimpin yang adil tanpa bersikap pilih kasih pada sesuatu bangsa atau kaum dalam sesebuah kawasan.

“Bagi saya siapa pemimpin, apa bangsa mereka, itu bukanlah satu masalah yang besar, asalkan mereka ini bekerja tidak lupa dengan perjuangan orang lama itu tidak akan menjadi masalah yang penting jangan lupakan rakyat. 

“Rakyat kita khasnya golongan belia jangan mudah terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang berniat jahat kepada kemakmuran masyarakat, ingatkah pengorbanan pejuang negara yang sanggup mati di tali gantung kerana mahu membentuk Malaysia atau Sarawak yang ada hari ini,” ujarnya lanjut.

Untuk rekod Parlimen Sibu dan Lanang menempatkan sebanyak 104 pusat mengundi dengan lebih 65,000 daripada jumlah keseluruhan 105,875 pemilih berdaftar adalah berbangsa Cina.

Kedua-dua parlimen tersebut kini disandang oleh calon daripada Parti Tindakam Demokratik (DAP) Oscar Ling (Sibu) dan Alice Lau Kiong Yieng (Lanang) merangkumi lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Bawang Assan, Nangka, Dudong, Palawan dan Bukit Assek.