SIMPANG RENGGAM: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) pada jam 8.55 pagi di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam.

Beliau yang tiba dengan lengkap berpakaian baju Melayu berwarna biru turut diiringi seorang pencadang serta penyokongnya sebelum memasuki dewan berkenaan bagi meneruskan proses penyerahan dokumen pencalonan.

Ketibaan beliau turut diarak penyokongnya yang membawa bendera parti selain bersorak di sepanjang laluan sebelum memasuki PPC.

Turut hadir memberi sokongan, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu, pesaingnya, Dr Maszlee Malik bagaimanapun tiba lebih awal iaitu pada jam 8.40 pagi bersama seorang pencadang dan penyokong.

Ketibaan Maszlee turut diiringi isteri beliau bersama kumpulan penyokong yang sebelum itu berarak mengelilingi sekitar kawasan penamaan calon.

Selain itu, calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Fazrul Kamat tiba pada jam 9.05 pagi, dan calon mewakili Parti Pejuang, Kamal Kusmin tiba pada jam 9.15 pagi.

Hasni adalah Pengerusi BN Johor sementara Maszlee merupakan penyandang kerusi ini yang sebelum ini menang dengan jumlah majoriti 3,475 undi.

Calon-calon dari PN dan Pejuang merupakan muka baharu.